Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Pembelajaran online bermula 7 Mac ini

    Oleh Syahmi Hassan & Nurdiyanah R.
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi semua sekolah termasuk pusat penjagaan kanak-kanak dan tadika akan dilaksanakan secara dalam talian atau online learning selama dua minggu bermula 7 hingga 19 Mac ini.

    Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata Jawatankuasa Pandu COVID-19 memaklumkan pembelajaran online juga melibatkan sekolah rendah, menengah, agama dan pusat tingkatan enam di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Pengumuman pada sidang media itu, menurutnya, adalah bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

    “Peralihan ini mengambil kira kehadiran pelajar-pelajar yang jauh berkurang sejak kebelakangan ini dan membolehkan guru-guru memberikan penumpuan yang lebih sempurna kepada pelajar,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato turut menyatakan pertimbangan khas akan diberikan kepada sekolah-sekolah yang memohon untuk mengadakan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bagi persediaan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menghadiri sidang media kelmarin. – Gambar oleh James Kon
    Kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi semua sekolah akan dilaksanakan secara dalam talian dari 7 hingga 19 Mac ini. – Gambar hiasan

    Sementara itu, ketika mengulas mengenai pertanyaan media berhubung kerasionalan perubahan kaedah pembelajaran tersebut , Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman mengatakan pendekatan itu diambil setelah melihat trend kedatangan golongan pelajar menghadiri pusat penjagaan dan sekolah-sekolah di negara ini mengalami kemerosotan dari hari ke hari, lebih-lebih lagi semasa gelombang ketiga wabak COVID-19 ini.

    “Oleh itu, Kementerian Pendidikan dan KHEU telah memantau permasalahan berkenaan sehingga mencapai sebulat suara untuk menetapkan penyelarasan bagi semua untuk dijadikan secara maya berpandukan sokongan Jawatankuasa Pandu COVID-19 Kebangsaan,” jelasnya.

    Tambahnya, kegigihan para pendidik pada masa ini telah pun berusaha meneruskan perlaksanaan pengajaran mereka menerusi pelbagai kaedah bukan hanya secara fizikal bahkan juga dalam talian dan sebagainya dalam meniti Fasa Endemik ini.

    “Dengan ini, guru-guru akan dapat lagi memberikan dan meneruskan lagi tumpuan yang lebih baik kepada pelajar-pelajar dalam menyalurkan kepentingan pendidikan,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Sementara itu, beliau juga menyarankan agar ibu bapa untuk terus kerjasama dengan guru-guru dan pihak sekolah untuk mencapai pendidikan anak-anak dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

    “Ibu bapa mestilah sentiasa memastikan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dan juga menyelesaikan kerja-kerja yang diberikan oleh guru-guru. Di samping itu, apa perlu diingatkan juga kepada golongan ibu bapa atau penjaga perlunya menitikberatkan masa-masa yang bersesuaian untuk menghubungi pihak guru-guru demi menyeimbangkan kemaslahatan atau keperluan antara kekeluargaan dan pekerjaan dalam kehidupan sehari-hari,” tekannya.

    Selain itu, para ibu bapa juga dinasihatkan untuk menyediakan suasana persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran anak-anak dalam talian mahu pun menerusi home-packed learning. Begitu juga pemantauan tahap kesihatan fizikal dan mental anak-anak mestilah dititikberatkan semasa mengikuti pembelajaran dalam talian di rumah masing-masing dan jika didapati sebarang masalah kesihatan atau kesulitan perlunya melaporkan segera kepada guru-guru mereka dalam ketika berdepan dengan cabaran gelombang ketiga ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...