Pembelajaran online sehingga 14 Mei

Oleh Sim Y. H & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Para pelajar diminta supaya terus berada di rumah sepanjang sesi persekolahan penggal kedua dan pembelajaran secara dalam talian akan terus dilaksanakan bagi semua sekolah rendah, menengah, pusat-pusat tingkatan enam, sekolah vokasional dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan termasuk semua sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan sekolah-sekolah swasta bermula 13 April hingga 14 Mei.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu bagi sekolah-sekolah antarabangsa adalah tertakluk kepada tarikh yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya di sini, hari ini, menyatakan bahawa keputusan berkenaan dibuat dengan nasihat Kementerian Kesihatan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar-pelajar.

Di samping itu, tambah kenyataan, cuti khas persekolahan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada 15 hingga 31 Mei dan dengan itu, sesi persekolahan penggal kedua seterusnya bagi semua sekolah rendah, menengah, pusat tingkatan enam, sekolah vokasional dan IBTE di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan semua sekolah di bawah kawalan KHEU serta sekolah-sekolah swasta akan dimulakan pada 2 Jun nanti.

Salah sebuah sekolah kelihatan lengang semenjak penutupan akibat koronavirus. Semua sekolah di seluruh negara akan terus ditutup sehingga 14 Mei ini dan semua pelajar diminta untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah masing-masing. – Gambar oleh Muiz Matdani

Manakala itu, bagi sekolah-sekolah antarabangsa, ia adalah tertakluk kepada tarikh yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing.

Walau bagaimanapun, tarikh berkenaan serta pelaksanaannya adalah masih tertakluk kepada perkembangan jangkitan pandemik COVID-19 serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan yang mana akan dimaklumkan kemudian.

Pihak sekolah juga akan terus mengaktifkan Business Continuity Plan (BCP) masing-masing sepanjang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian ini bagi menjaga kesejahteraan guru-guru dan warga sekolah. Pelaksanaan kaedah Work From Home (WFH) masih menggunakan kaedah flexible working arrangements bagi semua warga perkhidmatan awam selaras dengan kenyataan di dalam Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 06/2020.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Pusat Gerakan COVID-19 Kementerian Pendidikan di talian 2382396 pada waktu pejabat sahaja.

Dalam kesempatan ini, Media Permata juga sempat menemu bual salah seorang ibu kepada pelajar, Dayang Nurul Himmah Izzahtul Iznan binti Haji Muhammad Bokhari mengenai pembelajaran yang dilakukan secara dalam talian ini, di mana menurutnya, pihak kerajaan telah melakukan langkah-langkah ini untuk mengutamakan kemaslahatan penduduk di negara ini berikutan dengan kebimbangan penularan wabak COVID-19.

“Saya percaya warga Brunei Darussalam amnya dan para belia terutamanya akan dapat memulakan dengan positif dan pro aktif bagi penerapan Revolusi Perindustrian 4.0 ke arah kemajuan dan pembangunan menuju wawasan 2035,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai juga diharapkan akan dapat sama-sama berganding bahu untuk terus menyokong inisiatif yang dilakukan pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dalam menangani kaedah pembelajaran ketika COVID-19 dengan memberi kerjasama dan komitmen sebaik-baiknya terhadap apa yang telah dilakukan untuk kepentingan bersama.