Thursday, October 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembelajaran pra-vokasional terus diperkasa

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Sistem pendidikan yang mantap dan komprehensif seiring dengan perkembangan masa merupakan aset penting bagi membangunkan masyarakat dan negara.

    Dalam erti kata lain, ia bagaikan salah satu nadi bagi melakar perkembangan positif dalam pelbagai aspek demi kepentingan tanah air.

    Menerusi pendidikan, sesebuah bangsa itu akan mendapat ilmu yang boleh membezakan antara yang hak dan yang batil. Tanpa ilmu, kehidupan masyarakat itu umpama berada dalam kegelapan.

    Justeru, sektor pendidikan di Negara Brunei Darussalam terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035 iaitu rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya.

    Bagi merealisasikan hasrat tersebut, ia memerlukan sektor berkenaan untuk meneroka pendekatan dan kaedah baharu dalam konteks transformasi pendidikan yang mampu memberikan impak positif yang besar terutamanya ke atas pengajaran dan pembelajaran di setiap institusi pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

    Hajah Nor Zatil Faizah semasa ditemui Media Permata, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Awang Mohd Khairi Hafizuddin berkata subjek kegemarannya ialah lukisan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Laila Balqis (kanan) bersama Dayang Noorlelasari ketika meluangkan masa seketika bersama penulis. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dalam program tersebut adalah berdasarkan tahap dan kebolehan individu itu sendiri. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    PERKASA GOLONGAN PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

    Dalam menjana transformasi pendidikan merentasi cabaran globalisasi, kesejahteraan dan pendidikan pelajar-pelajar berkeperluan khas turut menjadi antara perkara yang diberikan perhatian sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan iaitu salah satunya menerusi Program Pra-Vokasional.

    Program Pra-Vokasional adalah sebuah program pendidikan khas untuk memenuhi keperluan dua kumpulan pelajar yang dikenal pasti sebagai pelajar berkeperluan khas tahap tinggi dan mengalami masalah pembelajaran. Program ini berjalan selama lima tahun, mulai Tahun 7 hingga Tahun 11.

    Pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dalam program ini lebih berfokuskan kepada kemahiran-kemahiran tertentu iaitu kemahiran akademik berfungsi, kemahiran bahasa dan komunikasi, kemahiran pengurusan diri, kemahiran asas vokasional dan kemahiran asas kerja, masing-masing mengikut tahap dan kebolehan individu itu sendiri.

    Perkara berkenaan antara yang dijelaskan oleh guru homeroom dan juga selaku Ketua Jabatan Penyelarasan Program Pra-Vokasional di Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Hasan, Hajah Nor Zatil Faizah binti Haji Mustapa, semasa berkesempatan ditemui Media Permata, baru-baru ini, bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pengisian program pendidikan yang diterapkan untuk pelajar-pelajar berkeperluan khas di sekolah tersebut.

    Beliau turut menambah bahawa pelajar-pelajar juga akan mengikuti penempatan kerja mengikut bidang yang bersesuaian dengan kebolehan dan minat mereka selama tiga bulan semasa Tahun 10 dan enam bulan pada Tahun 11.

    Menyentuh mengenai latar belakang secara ringkas, Hajah Nor Zatil Faizah berkongsi Program Pra-Vokasional di SM Sayyidina Hasan telah bermula pada tahun 1999 dan seramai 35 orang pelajar di bawah pimpinan tiga orang guru homeroom dan dua orang pembantu guru telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran di bawah program tersebut pada tahun ini.

    “Pelajar juga didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan aktiviti lain seperti aktiviti keusahawanan, masakan, sukan dan olahraga yang mana menunjukkan pencapaian serta kebolehan yang dapat dibanggakan bertepatan dengan visi dan misi sekolah untuk menjadikan pelajar berkebolehan dan berkemahiran,” ujarnya.

    SIUK BERSAMA KAWAN-KAWAN!

    Sementara itu, perasaan kegembiraan jelas terpancar pada riak wajah para pelajar yang turut berkesempatan ditemui penulis sewaktu melangkah ke ruang kelas Program Pra-Vokasional sekolah berkenaan.

    Penulis cuba mendekati salah seorang pelajar yang berusia 12 tahun yang sedang mengikuti aktiviti seni kraf tangan menggunakan hiasan manik berwarna-warni untuk dilekatkan pada sebuah lukisan tapak tangan pada ketika itu.

    Sambil mengukir senyuman, Awang Mohd Khairi Hafizuddin bin Mohd Affizan antaranya meluahkan rasa gembiranya kerana dapat belajar bersama kawan-kawan di kelas itu dan menyatakan subjek lukisan merupakan subjek yang dia minati.

    Tidak mahu melepaskan peluang mengongsikan perasaan keterujaan mengikuti aktiviti di kelas Program Pra-Vokasional pada ketika itu, Dayang Laila Balqis binti Aedy Ratna yang berusia 14 tahun turut berkata, “Siuk sama kawan-kawan, banyak aktiviti hari ani!”

    PERKEMBANGAN SEMAKIN POSITIF

    Berada di sisi Dayang Laila Balqis pada ketika itu ialah ibunya, Dayang Noorlelasari binti Ramli. Apabila ditanya mengenai pandangan peribadi selaku ibu bapa atau penjaga dalam menyaksikan perkembangan positif anaknya sejak mengikuti pengajaran dan pembelajaran di kelas Program Pra-Vokasional itu, beliau lantas dengan jiwa penuh kesyukuran berkongsi adanya perkembangan positif yang dapat dilihat pada Dayang Laila Balqis di mana dia semakin aktif dan mampu mengikuti pembelajaran bersama guru-gurunya.

    “Dia sudah pandai bergaul dan berinteraksi dengan kawan-kawan. Dia aktif ikut bersukan dengan kawan-kawan dan menunjukkan kemahiran hidup yang meningkat,” ucapnya sambil merakamkan penghargaan ke atas segala pengorbanan guru-guru Program Pra-Vokasional SM Sayyidina Hasan yang mendidik anaknya selama ini.

    SEMAI KEIKHLASAN JIWA RAGA

    Apa pun kerjaya yang dilakukan pastinya tidak terlepas daripada liku-liku cabaran. Namun, demi sebuah amanah sebagai seorang guru pengkhususan dalam bidang pendidikan berkeperluan khas, Hajah Nor Zatil Faizah antaranya turut meluahkan secara peribadi sebagai guru pendidikan khas perlu ada sifat ikhlas dan sabar dalam menangani pelajar berkeperluan khas.

    “Teknik-teknik pengajaran perlu disesuaikan mengikut keperluan dan kebolehan pelajar. Manakala, guru, pelajar dan ibu bapa perlu sentiasa mengamalkan komunikasi yang baik,” katanya.

    Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama berpasukan semasa menjalankan tugasan yang diberikan.

    Pada akhir temu bual, beliau juga berkongsi antara pencapaian yang telah diraih oleh pihak sekolah khususnya dalam melaksanakan pendidikan pelajar berkeperluan khas ialah menyertai Program Bootcamp anjuran Jabatan Pendidikan Khas dan Pusat Keusahawanan Inovasi dengan mendapat hadiah Persembahan Terbaik, Pertandingan Memasak Program Pra-Vokasional, Perlawanan Bocce Pelajar-pelajar Program Pra-Vokasional, dan lawatan sambil belajar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda