Pembelian panik tisu tandas angkara virus

SYDNEY, 4 MAC – Pasar raya terbesar Australia hari ini mengumumkan pembelian terhad tisu tandas selepas penularan koronavirus di seluruh dunia mencetuskan kepanikan pembelian di Down Under.

Woolworths berkata pengehadan empat bungkusan tisu tandas seorang akan dikenakan ‘untuk memastikan lebih banyak pelanggan dapat membeli produk tersebut’.

Cecair sanitasi tangan juga akan dijual di belakang kaunter perkhidmatan dan dihadkan kepada dua untuk seorang.

“Ia akan membantu mengekalkan tahap stok ketika pembekal meningkatkan pengeluaran dan menghantarnya semasa permintaan meningkat daripada biasa,” menurut syarikat dalam satu kenyataan.

Meskipun jaminan kerajaan, masih ada barangan yang kekurangan di pasar raya Australia dengan imej dalam media sosial menunjukkan rak-rak kosong dan pembeli menimbunkan troli dengan tisu tandas.

Polis terpaksa dipanggil ke pasar raya Sydney pada waktu makan tengah hari ini apabila sebilah pisau diacukan di lorong tisu tandas.

Polis New South Wales mengesahkan para pegawai pergi ke pasar raya barat Sydney namun mengatakan tidak ada tangkapan dibuat mahupun kecederaan.

Ia dipercayai sebilah pisau telah diacukan ke udara oleh seorang pelanggan yang kurang pendengaran dan pertuturan semasa perkelahian vokal berhubung tisu tandas. – AFP