Pemberhentian perkhidmatan pengangkutan awam laut dilanjutkan

LABUAN, 27 MAC – Pemberhentian perkhidmatan pengangkutan awam laut, iaitu feri penumpang dan bot laju dari Labuan ke Sabah dan Sarawak yang berkuat kuasa sejak 24 Mac lepas, dilanjutkan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tamat pada 14 April.

Jadual pelayaran feri kenderaan yang telah dikurangkan kepada satu perjalanan bermula 24 Mac lepas untuk empat feri yang beroperasi dari Labuan-Menumbok-Labuan, berbanding tiga perjalanan sebelum ini juga, akan kekal sehingga PKP berakhir.

Arahan itu akan dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia Labuan pada Isnin depan, kepada pengusaha feri Jutabonus Development Sdn Bhd yang mengendalikan Feri Galaxy dan Labuan Mainland Link Sdn Bhd dengan tiga ferinya iaitu Kimanis 1, Putrajaya 1 dan Goodwill Star.

Pengarahnya Benjamin Bernard Bijion berkata, selepas arahan pemberhentian perkhidmatan itu dikeluarkan pada 23 Mac, bilangan kenderaan dan penumpang ke tanah besar Menumbok, Sabah, melalui Terminal Feri (kenderaan) Labuan, telah berkurangan begitu ketara, manakala di Terminal Feri (penumpang) Antarabangsa Labuan kekal lengang. – Bernama