Pemberian CanSino mudahkan penduduk di pedalaman Sabah

TANJUNG MALIM, 25 JULAI – Pemberian vaksin COVID-19 dos tunggal CanSino di Sabah bakal memudahkan proses vaksinasi penduduk negeri itu terutama di pedalaman yang sebelum ini dibelenggu dengan masalah logistik dan perhubungan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata bekalan vaksin jenis itu merupakan satu kelebihan kerana penerima tidak perlu berulang-alik untuk mendapatkan dos kedua.

“Bekalan vaksin jenis ini akan memudahkan proses vaksinasi bagi penduduk Sabah terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman. Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di pusat pemberian vaksin (PPV) juga tidak perlu bergerak jauh sebanyak dua kali ke kawasan terpencil bagi memberikan vaksin.” – Bernama