Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Pemberian lampin pakai buang dan alat penyusuan ibu akan mula dikuatkuasakan pada 1 April ini dan kajian mendalam sudah pun dibuat termasuklah perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Kementerian Kesihatan dan maklum balas daripada orang ramai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menjelaskan, objektif pemberian lampin pakai buang dan alat penyusuan ibu ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan bagi ibu bapa yang terdiri daripada warganegara Brunei dan penduduk tetap yang mempunyai anak yang baru dilahirkan. Di samping itu juga bagi memastikan anak berkenaan akan mendapat penjagaan yang sewajarnya terutama sekali dari aspek kesihatan.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara ini semasa menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini. Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman seterusnya menjelaskan daripada kajian yang dibuat, jumlah kelahiran anak damit yang terdiri dari warga Brunei dan penduduk tetap bagi tahun 2015 adalah sebanyak 5,459 kelahiran.
“Jika dikira dari perbelanjaannya iaitu pemberian lampin pakai buang adalah sebanyak dua kali sebulan bagi tempoh 12 bulan saja,” tambahnya.

Manakala itu, alat bantuan penyusuan ibu diberikan kepada setiap kelahiran atau bagi tempoh dua tahun sekali dan jumlah setahun sebanyak $2.5 juta.
“Bantuan seumpama ini, beberapa negara maju seperti negara Eropah ada memberikan starter kit iaitu lampin, sleeping bag, toiletries, mitten dan ada juga yang memberikan elaun bulanan,” tambahnya.
Dalam perkara ini, ujar Yang Berhormat Pehin lagi, yang penting adalah untuk memberi galakkan kepada ibu-ibu untuk memberikan susu ibu kepada anak damit mereka di mana dalam Islam pun menjelaskan mengenai pemberian susu ibu kepada anak damit sehingga umur dua tahun.
“Ini adalah usaha kerajaan untuk meringankan beban dan sepatutnya ini sebagai hadiah kerajaan dan kita patut bersyukur kerana kerajaan dapat memberikan perkara ini dan sebagai tanda kesyukuran menyambut kelahiran anak damit itu,” tambahnya lagi.