Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Pemberian vaksin bagi kanak-kanak secara sukarela

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Vaksinasi COVID bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan dibukakan secara sukarela atas kemahuan dan persetujuan ibu bapa dan penjaga untuk anak-anak mereka mendapatkan vaksin COVID-19.

    Ia adalah atas menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Tarikh permulaan pemberian vaksinasi COVID bagi kanak-kanak dalam kalangan umur tersebut akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsi perkara itu pada Sidang Media Khas Vaksinasi bagi Kanak-kanak Berumur 5 hingga 11 Tahun di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan petang tadi.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan ibu bapa yang ingin mendapatkan suntikan bagi anak-anak mereka bolehlah hadir ke pusat-pusat suntikan yang sedia ada secara walk-in atau menempah slot melalui aplikasi BruHealth. 

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa mengongsikan statistik terkini jangkitan COVID pada sidang media tersebut.
    Bekalan vaksin COVID formulasi khas untuk kanak-kanak dari Syarikat Pfizer telah selamat tiba ke negara ini pada 24 Mac lalu.

    “Pemberian vaksin COVID untuk kanak-kanak adalah bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada mereka daripada kesan-kesan buruk jangkitan COVID dan tidak akan dijadikan syarat bagi kanak-kanak memasuki mana-mana premis atau mengikuti apa jua aktiviti,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Selain itu, dapatan-dapatan daripada kajian-kajian setakat ini menyarankan bagi kanak-kanak untuk diberikan dua dos vaksin sahaja.

    Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan akan terus memantau dan menyiasat sebarang kes yang melaporkan sebarang kejadian kesan sampingan, sama ada ringan atau teruk untuk memastikan keselamatan penggunaan vaksin tersebut terus terjamin.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan bahawa bekalan vaksin COVID formulasi khas untuk kanak-kanak dari Syarikat Pfizer telah selamat tiba ke negara ini pada 24 Mac lalu.

    Selain itu, beberapa kajian dan penganalisaan yang telah dibuat mengenai kesan pandemik COVID kepada kanak-kanak dan remaja turut dikongsikan semasa sidang media khas tersebut.

    “Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, sejak bermulanya wabak COVID pada penghujung Disember 2019 hingga 25 Oktober 2021, kadar kematian di kalangan kanak-kanak yang dijangkiti COVID ialah 0.03 peratus bagi kanak-kanak dan remaja berumur 14 tahun ke bawah dan 0.04 peratus kanak-kanak dan remaja berumur 24 tahun dan ke bawah.

    “Kanak-kanak dan remaja juga boleh mengalami tanda-tanda jangkitan atau gejala untuk jangka masa yang lama, atau dikenali sebagai ‘long COVID’ atau ‘post COVID’,” tambahnya.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan saranan yang dikeluarkan oleh pihak WHO bagi negara-negara di seluruh dunia memberikan vaksinasi COVID kepada kanak-kanak.

    Jawatankuasa Penasihat Global WHO untuk Keselamatan Vaksin (GACVS) telah membuat kesimpulan bahawa dalam semua peringkat umur (termasuk kanak-kanak), faedah yang diperolehi dari vaksin COVID mRNA dalam mengurangkan keperluan rawatan hospital dan kematian akibat COVID jauh melebihi risiko vaksin berkenaan.

    Manakala kajian-kajian yang dilakukan di beberapa buah negara khusus mengenai kesan sampingan serius akibat vaksinasi COVID terhadap kanak-kanak tidak mendapati sebarang kesan sampingan serius atau kematian yang dikaitkan secara langsung kepada vaksinasi tersebut.

    Dapatan kajian klinikal fasa 2 dan 3 bagi kanak-kanak mendapati vaksin Pfizer Comirnaty COVID-19 untuk kanak-kanak mempunyai keberkesanan sebanyak 90.9 peratus terhadap virus COVID-19, di toleransi dengan baik dan menunjukkan tindak balas antibodi peneutralan yang kuat.

    Data-data yang diteliti tidak menunjukkan adanya kesan yang serius kepada kanak-kanak akibat vaksinasi COVID.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...