Pemberian vaksin kanak-kanak masih diteliti

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Kementerian Kesihatan sedang meneliti pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun seperti yang dilakukan di negara-negara lain.

“Perkara ini memang dalam penelitian Kementerian Kesihatan,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, kementerian berkenaan mempunyai komiti teknikal yang sentiasa menilai dan memantau keadaan walaupun beberapa buah negara telah memberikan vaksin kepada golongan kanak-kanak tapi perlu menilai keberkesanan dan vaksin yang sesuai diberikan.

“Sebelum memberikan vaksin kepada golongan kanak-kanak di bawah 18 tahun, golongan dewasa mestilah menerima vaksin dulu kerana yang banyak mengalami penyakit teruk ini adalah golongan dewasa terutama mereka yang mempunyai risiko tertentu,” jelasnya.