Pemberigaan CaP terus dilaksana

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Bermula 1 Ogos nanti, Caj Perkhidmatan (CaP) akan dikenakan bagi setiap orang yang melalui pos-pos kawalan darat dengan kadar $3 bagi setiap satu hala perjalanan.

Caj $3 adalah bagi seorang yang melalui pos kawalan darat seperti contoh jika seorang itu keluar melalui Pos Kawalan Kuala Lurah dan masuk kembali melalui Pos Kawalan Kuala Lurah, jumlah keseluruhan yang dikenakan ialah $6.

Jika tiga orang berada dalam sebuah kereta, contohnya, maka apabila keluar akan dikenakan caj $9 dan apabila masuk kembali akan dikenakan caj $9 di mana jumlah keseluruhan yang dikenakan bagi tiga orang sekereta untuk perjalanan keluar dan masuk melalui satu pos kawalan darat ialah $18.

Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Haji Muhsin bin Haji Ahmad dalam temu bual ringkas bersama Media Permata selepas Jerayawara Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 bagi Penghulu dan Ketua-ketua Kampung di Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

Beliau menerangkan lagi bagi pembayaran CaP adalah tidak sama dengan pembayaran caj tol di Jambatan Rasau, di mana tol itu mengenakan caj bagi setiap kenderaan tetapi bukan setiap orang yang berada dalam kenderaan.

Penghulu dan ketua kampung diberikan penerangan dan tunjuk cara penggunaan sistem EES semasa Jerayawara Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 bagi Penghulu dan Ketua-ketua Kampung di Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kelmarin.

Beliau menerangkan, sebagai contoh, jika dalam sebuah kereta itu terdapat lima orang, maka CaP yang dikenakan kesemuanya ialah $15 bagi satu hala perjalanan melalui pos kawalan
darat.

Sementara itu, mengulas mengenai objektif pelaksanaan caj berkenaan, Haji Muhsin berkata ia adalah untuk menyelaraskan bayaran dan caj-caj yang telah dikenakan dan sedang berjalan pada masa ini kepada orang ramai yang keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui udara dan laut.

Beliau menerangkan lanjut bahawa seperti yang dimaklumkan pada masa ini, caj juga akan dikenakan melalui jalan laut di terminal feri dan perkara yang sama juga bagi mereka yang masuk dan keluar melalui udara, di mana caj berkenaan dimasukkan ke dalam tiket penerbangan mereka.

Oleh itu, beliau menekankan lagi bahawa caj itu adalah untuk menyelaraskan caj-caj yang dikenakan kepada orang ramai yang masuk atau keluar dari Negara Brunei Darussalam melalui udara dan laut serta bermula 1 Ogos nanti, bagi mereka yang melalui darat.

Terdahulu penerangan dan jawapan bagi persoalan yang dikemukakan semasa jerayawara berkenaan dikendalikan oleh Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Suraya binti Haji Jaidin, Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Haji Muhsin bin Haji Ahmad, Penolong Pengawal Kastam, Dayang Khairul Bariah binti Ahmad dan Pemangku Penolong Pengawal Kastam, Dayang Nurul Hayyadatul Amra binti Abu Bakar.