Gambar serahan Jabatan Buruh
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Sebagai usaha memberikan maklumat dan penerangan mengenai pellaksanaan denda kompaun di bawah Perintah Pekerjaan yang akan mula dikuatkuasakan pada 15 Oktober ini, sesi taklimat mengenainya telah diadakan, kelmarin, yang dihadiri oleh wakil daripada 50 buah syarikat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, sesi taklimat yang berlangsung di Dewan Tripartite, Tingkat 1, Jabatan Buruh itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Buruh, Haji Shariful Bahri bin Haji Sawas.
Manakala itu, taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pesuruhjaya Buruh, dari Bahagian Pendakwaan dan Perundangan, Awang Mohammad Hazizul bin Hassan dan Pemeriksa Buruh Kanan, dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Awang Muhamad Zulfadhli bin Suhai.
Ahli panel juga menerangkan bahawa denda kompaun akan dikenakan bagi kesalahan pertama dan kesalahan kedua bagi mana-mana majikan yang melanggar Perintah Pekerjaan 2009 dan peraturan-peraturan di bawahnya manakala bagi kesalahan ketiga tidak akan ditawarkan denda kompaun tetapi akan dihadapkan ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan.
Setiap kesalahan yang dikenakan denda adalah tidak melebihi $1,000.
Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai kadar denda kompaun bagi setiap kesalahan, orang ramai khasnya para majikan bolehlah menghubungi talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (selepas waktu bekerja) atau melayari laman sesawang www.labour.gov.bn.