Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemberigaan kadar cukai di Tutong

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 15 Mac – Bagi memberigakan mengenai Perubahan Kadar-kadar Cukai Import Kastam dan Duti Eksais yang berkuat kuasa 1 April ini, Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) meneruskan jerayawaranya di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, petang tadi.

    Hadir bagi menyampaikan taklimat di jerayawara tersebut ialah Setiausaha Tetap (Prestasi) di Kementerian Kewangan, Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut menyampaikan taklimat bagi mewakili agensi-agensi lain ialah Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Awang Mohammad Mu’inuddin Abdur Rahman; Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Dayang Heidi Farah Sia binti Abdul Rahman; Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Awang Ali bin Haji Matussin; Pegawai Pemakanan Kanan di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Kamis dan Pegawai Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Awang Abdul Khaliq bin Haji Lokman.

    Objektif pindaan kadar cukai import dan eksais antaranya adalah bagi mengemaskinikan struktur cukai barangan di negara ini yang akan dapat mendokong beberapa objektif utama, bagi meningkatkan daya saing iklim perniagaan dan pelaburan negara sama ada secara dua hala atau pelbagai hala.

    Pengemaskinian kadar cukai berkenaan turut menyasarkan beberapa produk tertentu yang mempunyai beberapa matlamat antaranya meringankan kos sara hidup terutama bagi golongan sasaran, menyasarkan penurunan harga barangan tertentu bagi menggalakkan penggunaannya dan untuk mengawal penggunaan barangan tertentu dengan matlamat untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Setiausaha Tetap (Prestasi), Kementerian Kewangan semasa menyampaikan taklimat.
    Setiausaha Tetap (Prestasi), Kementerian Kewangan semasa menyampaikan taklimat.
    Antara yang hadir pada majlis pemberigaan cukai itu.
    Antara yang hadir pada majlis pemberigaan cukai itu.

    Sebagai langkah untuk meningkatkan perkembangan sektor swasta di negara ini, pengurangan kadar cukai import dan eksais juga akan dilaksanakan ke atas beberapa barangan bagi beberapa sektor perniagaan seperti mesin-mesin perindustrian, alat ganti bagi kenderaan berat dan jentera berat.

    Sementara itu, bagi aspek kesihatan, kadar cukai bagi beberapa barangan yang boleh memudaratkan kesihatan akan dinaikkan bagi mengawal permintaan pengguna, antaranya minuman dan makanan yang mempunyai kadar gula tinggi dan sebagainya.

    Dari aspek alam sekitar, kenaikan kadar cukai akan dikenakan ke atas produk plastik dan sebagainya bagi mencapai sasaran Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE), Kementerian Pembangunan untuk mengurangkan jumlah sisa buangan plastik perlu dilupuskan sekali gus mengurangkan pencemaran yang boleh memudaratkan kesihatan.

    Bagi tujuan mengimbangi pengurangan hasil cukai bagi barangan-barangan tertentu, cukai ke atas barangan tertentu seperti telefon bimbit, produk dari bahan kulit dan bulu binatang, alat permainan video dan lain-lain akan dinaikkan.

    Orang ramai yang ingin mengetahui mengenai perubahan kadar-kadar cukai ini boleh melayari laman sesawang JKED di www.bdnsw.gov.bn atau www.tradingacrossborders.gov.bn atau me-nghubungi terus jabatan berkenaan melalui talian 2382361.

    Turut hadir di jerayawara tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam berserta pegawai-pegawai dari Jabatan Daerah Tutong, pengusaha-pengusaha, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda