Pemberigaan perintah baharu diteruskan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Jerayawara mengenai Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 yang akan dikuatkuasakan pada 1 Ogos depan telah diteruskan lagi kelmarin, di Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong.

Hadir menyampaikan taklimat pada jerayawara berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Suraya binti Haji Jaidin; Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Haji Muhsin bin Haji Ahmad; Penolong Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Dayang Khairul Bariah binti Ahmad dan Pemangku Penolong Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Dayang Nurul Hayadatul Amra binti Abu Bakar.

Jerayawara anjuran Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi itu dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhd Ameer Mubaaraq bin Pengiran Haji Hashim dan para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta jemputan khas.

Penghulu Mukim Batu Apoi, Haji Matzin bin Haji Awang ketika ditemui Media Permata berkata, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam haruslah patuh dengan sistem atau undang-undang baharu ini.

“Saya berpendapat dengan adanya sistem baharu ini, akan dapat membantu ekonomi negara dengan lebih baik,” tambah beliau.

Yang Berhormat Haji Emran pula berpendapat, program atau sistem berkenaan adalah sangat baik dan dapat membantu ekonomi negara, kerana ia bukan sahaja boleh menambah pendapatan negara, dan juga dapat mengawal kemasukan da keluar orang ramai semasa penularan wabak COVID-19 di pos-pos kawalan.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk memberikan kerjasama kepada inisiatif kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerana pada peringkat awal mungkin akan ada timbul masalah-masalah kecil namun dengan adanya jerayawara berkenaan, maklumat lanjut akan dapat diberikan kepada orang ramai.

Jerayawara berkenaan bertujuan untuk memberikan maklumat lebih lanjut kepada para penghulu dan ketua kampung agar maklumat berkenaan dapat disebarkan kepada anak-anak buah di mukim dan kampung masing-masing.

Yang Berhormat Haji Emran memahami cara pendaftaran menerusi Sistem Keluar dan Masuk.