Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemberigaan pindaan perintah diteruskan secara maya

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Taklimat pemberigaan mengenai Perintah Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya (Pindaan), 2021 dan Perintah Orang Kurang Upaya 2021, telah diteruskan hari ini kepada pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan orang kelainan upaya secara dalam talian.

    Seramai 90 orang telah menghadiri taklimat berkenaan termasuk Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab serta penaung-penaung dan ahli MKOKU, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), SMARTER, Paraplegic and Physically Disabled Association (PAPDA), Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Brunei Darussalam (BDNAB), Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD), Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP), Persatuan Sindrom Down (ABLE) dan Learning Ladders Society (LLS).

    Turut hadir ialah wakil Persatuan An-Nur Harapan dan Persatuan La Vida.

    Taklimat telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudaya-an) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan turut disertai oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Khas, Kemen-terian Pendidikan dan Pusat Bahagia di keempat-empat daerah.

    Acara yang diteruskan dengan sesi soal jawab tersebut bertujuan untuk memberikan kefahaman secara lebih terperinci kepada golongan kelainan upaya mengenai perintah-perintah berkenaan, khususnya faedah-faedah seperti elaun dan undang-undang yang akan melindungi golongan berkenaan daripada penderaan dan pengabaian.

    Kedua-dua perundangan berkenaan dihasratkan untuk sama-sama melengkapi dan mendukung pelbagai inisiatif kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah pembangunan masyarakat yang inklusif, serta menitikberatkan dan memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga emas dan orang kelainan upaya di negara ini agar sentiasa dijaga, dipelihara dan diberi peluang saksama.

    Dalam kata-kata penutupnya, Dato Paduka Haji Mohd Alimin menyatakan bahawa kedua-dua perundangan berkenaan amatlah disambut baik dan berharap ianya akan dilaksanakan dengan jayanya.

    Antara yang hadir mendengarkan taklimat secara dalam talian.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda