Pemberigaan semangat patriotisme pada bendera kebangsaan

Oleh Yusrin Junaidi

Dalam menunjukkan semangat patriotik dan perasaan cinta kepada negara, tidak hanya melalui perjuangan di medan perang mahupun menaburkan pelbagai bakti kepada negara.

Malah semangat patriotik ini boleh disemai melalui penghargaan kita terhadap bendera negara.

Bendera bukan sekadar sehelai kain yang dikibarkan sebagai perhiasan, malah bendera merupakan lambang yang membuktikan kedaulatan, penghormatan dan martabat sesebuah negara.

Baru-baru ini, Negara Brunei Darussalam telah menyambut Hari Kebangsaan yang ke-36 tahun, di mana seluruh negara telah diperintahkan untuk menaikkan dan mengibarkan ben dera kebangsaan di jalan-jalan raya, premis-premis kerajaan dan swasta serta rumah-rumah.

Dengan perintah tersebut dapat lagi memupuk semangat patriotik dan cinta kepada negara dalam setiap diri rakyat dan penduduk di negara ini.

Haji Sohaili, salah seorang penduduk di Rancangan Perumahan Negara Meragang ketika ditemui Media Permata baru-baru ini. – Gambar dari Haji Sohaili bin Haji Mohidi
Pembawa bendera kebangsaan dan bendera logo Hari Kebangsaan ke-36 berarak masuk ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara. – Gambar oleh Muiz Matdani

Semangat patriotik ini jelas terpancar pada diri Haji Sohaili bin Haji Mohidi, yang hadir bagi memeriahkan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 baru-baru ini. Beliau sempat ditemu bual oleh Media Permata mengenai pendapat beliau tentang bendera kebangsaan yang berkibar di seluruh negara terutama di Bandar Seri Begawan.

Haji Sohaili menyatakan bendera Negara Brunei Darussalam adalah bendera yang berdaulat dan penuh perisian sejarah yang berkah. Beliau mengongsikan bendera Negara Brunei Darussalam mula diperkenalkan pada 29 September 1959 semasa Brunei merupakan negeri naungan (protektorat) United Kingdom dan dikekalkan apabila Brunei mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984.

“Jika kita renung kedudukan bendera kebangsaan adalah amat tinggi dan wajib dijaga, digunakan, disempurnakan dan disimpan dengan penuh lutanan (sempurna) dan bertanggungjawab. Dalam erti lain, ‘diampaikan’ (diletakkan) di lantai atau tanah pun tidak boleh,” jelas beliau.

Beliau menyatakan rekaan bendera kebangsaan begitu indah, menarik dan memberi pengertian secara menyeluruh dan mendalam serta tetap relevan dengan peredaran zaman. Dengan berlatar belakangkan warna kuning dan pepenjuru hitam, putih dan terletak ditengah-tengahnya panji-panji berwarna merah sebagai lambang negara.

“Bendera kebangsaan memiliki panji-panji yang terdiri daripada bulan sabit yang menunjukkan lambang Islam, dan dicantum dengan payung obor-obor sebagai lambang kerajaan di bawah pemerintahan seorang raja.

“Lambang sayap pada panji-panji pula melambangkan keadilan, kedamaian, kemakmuran dan keamanan bagi negara dan di sebelah kiri dan kanannya terdapat sepasang tangan yang menadah dilambangkan sebagai memohon doa kepada Allah SWT.

“Manakala pada bulan sabit terdapat tulisan Jawi yang membawa cogan kata bermaksud, ‘Sentiasa berbuat kebajikan dengan petunjuk Allah’ dan di bawahnya, juga tertulis ‘Negara Brunei Darussalam’ yang juga ditulis dalam tulisan Jawi,” jelas beliau mengenai bendera kebangsaan.

Bercakap mengenai kewujudan bendera yang ada sekarang, beliau memberikan pandangan dan saranan agar pihak berkenaan meneliti semula tahap kualiti pembuatan bendera Kebangsaan yang dijual. Menurut beliau lagi, bendera kebangsaan kini dijual dengan harga begitu murah kerana diperbuat daripada kain yang tidak boleh tahan lama terdedah kepada hujan dan angin kencang sehingga menyebabkan warnanya pudar serta koyak dan hanya mampu digunakan dalam jangka yang pendek.

Haji Sohaili berpendapat pembuatan bendera kebangsaan harus dibuat dalam dua jenis buatan, iaitu buatan yang murah bagi mampu milik dan juga yang ada kualiti dengan sulaman dan jahitan yang boleh diguna pakai dalam jangka masa yang panjang.

Tambah beliau, kedudukan dan taraf bendera kebangsaan adalah amat tinggi, bukan hanya dalam hal keagamaan, malah juga dalam peringkat kebangsaan serta serantau. Beliau menyeru agar menanamkan sikap bertanggung jawab bagi menaikkan bendera di rumah-rumah, premis-premis swasta, kerajaan, sekolah dan sebagainya tanpa melengahkannya kerana sebagai satu kewajiban mengibarkan bendera setiap kali ada pemberigaan dan arahan dari pihak kerajaan mengikut taraf dan kedudukan masing-masing.

“Marilah kita bersama-sama menanamkan jiwa dan sikap patriotisme dalam sanubari setiap rakyat dan penduduk secara berterusan dan sentiasa beristiqamah, bukan hanya semasa hari-hari kebesaran atau keraian,” ujar Haji Sohaili.