Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemberigaan skop tanggungjawab ABCi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Dalam usaha untuk memberigakan skop dan tanggungjawab Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) kepada orang ramai, satu sesi muzakarah telah diadakan di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini.

    Sesi muzakarah anjuran ABCi yang diadakan kali ke-4 itu dihadiri oleh warga Jabatan Daerah Brunei dan Muara, penghulu-penghulu dan ketua-ketua Kampung di Daerah Brunei dan Muara.

    Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan, di sini, muzakarah tersebut menyentuh mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan Perintah Kawalan Bangunan 2014 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bangunan 2014 dan juga skop-skop ABCi seperti kawalan bangunan, perlesenan, kebenaran iklan, papan iklan, papan tanda dan penguatkuasaan.

    Juga diberigakan semasa sesi muzakarah tersebut ialah tatacara mendapatkan kebenaran-kebenaran berkaitan dengan sebarang kemajuan yang mempunyai enam peringkat, yang dihadapkan ke ABCi melalui Orang yang Berkelayakan (Qualified Persons) yang berdaftar dan mempunyai sijil amalan daripada Lembaga Arkitek Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan yang telah dilantik untuk menyediakan pelan kerja-kerja bangunan dan menghadapkan permohonan kemajuan untuk kebenaran.

    Aspek-aspek penguatkuasaan juga diterangkan semasa muzakarah tersebut bagi memastikan keselarasan dengan Perintah Kawalan Bangunan 2014 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bangunan 2014.

    Sesi muzakarah tersebut juga menekankan bahawa sebarang kerja-kerja pembinaan bangunan hendaklah diusahakan dan dilaksanakan oleh pembina yang berlesen.

    Dalam pada itu, ABCi juga menasihatkan pihak pemilik atau pemaju untuk memastikan pendaftaran pembina adalah sah di sepanjang tempoh pembinaan. Sebarang iklan, papan iklan dan papan tanda hendaklah dipohonkan ke ABCi untuk kebenaran melalui syarikat pengiklanan yang berdaftar dengan ABCi.

    Sesi muzakarah tersebut juga diharap akan dapat memberikan pengetahuan kepada orang ramai mengenai perkhidmatan dan skop kerja pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang berkenaan.

    Gambar ramai mereka yang terlibat dalam pemberigaan tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda