Pemberontak dakwa tembak jatuh helikopter tentera Myanmar

YANGON, 3 MEI – Kumpulan pemberontak, Tentera Pembebasan Kachin mendakwa menembak jatuh helikopter tentera Myanmar hari ini, ketika bantahan berterusan terhadap junta yang merampas kuasa.

Jurucakap kumpulan pemberontak terkuat di negeri bersempadan dengan China itu berkata insiden berlaku semasa tentera Myanmar (Tatmadaw) melancarkan serangan udara.

“Beberapa hari lalu Tatmadaw melancarkan serangan udara, tetapi hari ini serangan membabitkan tiga jet pejuang dan helikopter. Kami menembak jatuh helikopter pada sekitar 10 pagi (0330GMT) hari ini,” kata seorang pegawai maklumat kumpulan pemberontak Kol Naw Naw Bu, lapor Anadolu. Beliau enggan mendedahkan jenis senjata yang digunakan untuk menembak jatuh helikopter tentera itu.

Pegawai itu mendakwa serangan udara itu menyasarkan bukit Alaw Bun di perbandaran Moemauk berhampiran sempadan Myanmar-China di Kachin yang dianggap penting oleh kedua-dua pihak untuk menguatkan kedudukan mereka di wilayah berhampiran. – Bernama

Gambar fail tentera pemberontak, Tentera Pembebasan Kachin di sempadan antara Myanmar dan China di Kachin. –AFP