JAKARTA, 18 JULAI – Pemisah di wilayah timur Indonesia yang bergolak, Papua telah mengaku bertanggungjawab hari ini, bagi pembunuhan 10 orang pada hujung minggu, menuduh mangsa-mangsa sebagai perisik kerajaan di Jakarta.
Lelaki-lelaki bersenjata dan penyerang yang membawa senjata tajam telah menyerbu sebuah trak pedagang yang membawa barangan melalui kawasan tinggi yang terpencil pada Sabtu, menurut polis, yang menyalahkan pemberontak bagi pembunuhan itu.
Pemberontak di Papua, yang telah melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan Indonesia selama berdekad-dekad, telah meningkatkan serangan kebelakangan ini, menyasarkan pekerja-pekerja yang mereka tuduh berkaitan dengan kerajaan.
Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB), sayap tentera bagi kumpulan pemisah utama Papua, berkata mereka telah menembak mati orang awam berkenaan kerana mereka percaya mangsa-mangsa terbabit adalah perisik Jakarta yang menyamar sebagai pekerja.
“Kami menembak 11 orang (warga Indonesia) dan seorang warga Papua kerana mereka mengambil gambar kami dan membalas apabila TPNPB menyoal mereka,” jurucakap pemberontak, Egianus Kogeya berkata dalam satu kenyataan.
Kogeya memberi amaran kepada ‘pendatang Indonesia’ dari pulau-pulau lain untuk meninggalkan rantau bergolak itu dan mengancam untuk membunuh mereka jika tidak mengendahkan amaran berkenaan. – AFP