Pemberontak diarah keluar Hodeida

ADEN, 28 Jun – Presiden Yaman menuntut kumpulan pemberontak untuk keluar daripada Hodeida, menurut sumber kerajaan selepas rundingan bersama utusan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin di Aden.

Utusan PBB, Martin Griffiths bertemu dengan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi di mana anggota tenteranya memerangi pemberontak Huthi untuk menguasai bandar pelabuhan Laut Merah, Hodeida dalam satu siri perbincangan baharu yang menyasarkan keganasan yang memuncak.

“Presiden Hadi mendesak pejuang Huthi untuk keluar sepenuhnya daripada Hodeida tanpa syarat atau berdepan dengan tindakan ketenteraan,” menurut sumber kerajaan memberitahu AFP. Kerajaan Yaman juga menuntut pejuang Huthi untuk keluar secara sepenuhnya dari wilayah Hodeida termasuk pelabuhan dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Saba kelmarin.

Hodeida, pelabuhan yang paling bernilai di negara itu menjadi tempat berlakunya serangan ketenteraan yang berlanjutan selama berminggu-minggu oleh kerajaan Yaman dan sekutu-sekutu wilayah yang diketuai oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sumber diplomatik telah berkata bahawa pejuang Huthi bersetuju untuk menyerahkan kawalan pelabuhan kepada PBB.

Laporan itu belum disahkan oleh PBB. Pendirian presiden Yaman mengenai tuntutan itu seiring dengan langkah sekutu Emiriah.

Pada Isnin lalu, Menteri Persekutuan Hal Ehwal Luar UAE, Anwar Gargash menerusi Twitter bahawa pengusiran pejuang Huthi dari pelaburan dan bandar Hodeida adalah ‘penting’.

Pejuang Huthi yang disokong Iran telah menguasai bahagian bandar Hodeida dan pelabuhannya sejak 2014 apabila mereka mengusir pentadbiran Hadi daripada bandar dan menawan sebahagian besar bahagian utara Yaman. Pada 13 Jun lalu, UAE dan sekutunya termasuk Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran yang dipanggil ‘Golden Victory’ untuk mengusir pemberontak daripada pelabuhan Hodeida. – AFP