Pemberontak Papua diburu

WAMENA, Indonesia, 5 Dis – Tentera Indonesia hari ini memburu suspek pemberontak yang membunuh sehingga 24 buruh binaan di wilayah bergolak Papua, ketika keterangan seorang saksi disokong tentera menyifatkan kejadian itu sebagai pembunuhan ngeri secara besar-besaran.

Keterangan mangsa memperincikan pembunuhan sekurang-kurangnya 19 orang, jika disahkan menandakan keganasan terburuk sejak bertahun lalu yang melanda rantau dilingkari pemberontakan kemerdekaan tahap rendah.

Satu akaun Facebook dikendalikan Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB) berkata, kumpulan itu membunuh 24 pekerja atas arahan komander serantaunya, Ekianus Kogoya. Pihak berkuasa belum mengesahkan berapa ramai dibunuh dalam serangan hujung minggu lalu.

Hari ini, kira-kira 150 anggota tentera memfokuskan operasi di Nduga, rantau pergunungan terpencil di mana kontraktor kerajaan membina jambatan dan jalan raya sebagai sebahagian usaha meningkatkan infrastruktur.

Ramai penduduk Papua menganggap Indonesia sebagai penjajah dan kerja pembinaan sebagai cara meluaskan lebih banyak kawalan di rantau miskin yang berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea, sebuah negara bebas. Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, beliau menyokong pemburuan dalang apa yang disifatkan sebagai ‘dakwaan serangan.’

Polis Indonesia dan pasukan perubatan membantu seorang anggota briged yang cedera dalam pertempuran dengan pemberontak di Nduga, kelmarin. – AFP

“Saya mengarahkan ketua tentera dan polis negara memburu dan menahan semua penjenayah tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan,” katanya kepada media di sini.

Pasukan polis dan tentera dihantar ke kawasan itu Isnin lalu diserang pemberontak dengan seorang askar terbunuh dan seorang lagi cedera dalam pertempuran, kata pihak berkuasa.

Empat pekerja termasuk tiga yang cedera ditembak, antara berpuluh orang awam yang dipindahkan dari kawasan itu setakat ini.

Menurut keterangan saksi yang mendakwa 50 pemberontak memasuki kem pekerja Sabtu lalu dan mengarahkan mereka keluar sambil tangan diikat di belakang. Pada keesokan harinya (Ahad), pemberontak menembak mati kumpulan pekerja, dengan sesetengah cuba lari.

Penyerang didakwa menawan semula enam pekerja dan mengelar leher mereka, menurut saksi yang tidak cedera, yang berkata sekurang-kurangnya 19 rakannya dibunuh secara keseluruhan.

Laporan media tempatan sebelumnya memberi jumlah yang maut antara 24 dan 31 orang. – AFP