Pembersihan terakhir sebelum pembukaan semula

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 18 NOV – Sebagai persediaan bagi Fasa Peralihan yang akan bermula esok, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS) telah menjalankan usaha pembersihan dan pensanitasian terakhir di Gerai Bunga Simpur, Kuala Belait, hari ini.

Ia dijalankan sebagai sebahagian daripada siri usaha pembersihan dan pensanitasian di seluruh Daerah Belait, khususnya kawasan di bawah kawalan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, yang bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kedua-dua peniaga dan pelawat semasa Fasa Peralihan dan seterusnya.

Kempen pembersihan dan sanitasi itu menyaksikan kakitangan sebuah syarikat pensanitasian tempatan membersihkan kawasan premis gerai berkenaan menggunakan pelbagai peralatan sanitasi untuk memastikan semua sudut dan celah premis dibersihkan dengan betul bagi kegunaan peniaga dan pengunjung.

Sebelum ini, JBKBS turut menjalankan kempen kebersihan dan sanitasi yang sama di Medan Selera Gerai Seri Selera Seria, kelmarin.

Sebagai persediaan menghadapi Fasa Peralihan, JBKBS turut menasihati para peniaga dan pengunjung yang akan mengunjungi premis awam supaya sentiasa mematuhi garis panduan kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan seperti menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mengimbas kod QR BruHealth apabila memasuki premis.

Selain itu, peniaga juga digesa untuk memastikan pengendali dan kakitangan mereka diberi vaksin lengkap dan menjalankan ujian pantas antigen (ART) secara berkala seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan.

Pembersihan dan pensanitasian yang dijalankan di Gerai Bunga Simpur.