Pembinaan dua tangki air selesai masalah dihadapi penduduk Kg Penimbawan

TUARAN, 6 JULAI – Dua tangki air di Kampung Penimbawan yang kini siap dibina telah menyelesaikan masalah penduduk yang dihadapi sejak sekian lama sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 316 keluarga di kampung itu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata dua tangki air itu masing-masing mampu menampung air bersih sebanyak 30,000 liter dan 10,000 liter untuk diagihkan kepada penduduk di kampung berkenaan.

“Dengan adanya kemudahan (tangki air) itu sekali gus dapat menampung keperluan penduduk di Kampung Penimbawan yang selama ini hanya mempunyai satu tangki berkeupayaan menyim-pan 6,000 liter air sahaja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tangki air itu, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tuaran itu berharap kemudahan berkenaan juga dapat mengubah kehidupan penduduk di situ yang sebelum ini terpaksa berulang-alik mengambil 100 gelen air di pusat tadahan air untuk keperluan harian.

Sementara itu, Ketua Kampung Penimbawan Abdul Rahim Tehe, 68, amat bersykur kerana masalah air yang sekian lama dihadapi oleh penduduk di kampung itu akhirnya berjaya diselesaikan.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Penimbawan, Derin Banih, 63, yang berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kemudahan air bersih kepada penduduk. – Bernama