Pembinaan jambatan Sungai Krian, Batang Saribas diteruskan

SPAOH, SARAWAK, 11 JUN – Projek pembinaan jambatan Sungai Krian dan Batang Saribas diteruskan setelah tiga bulan ditangguhkan susulan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, setiap tapak projek itu harus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Setiap tapak pembinaan juga disediakan asrama, para pekerja tapak binaan tinggal di sana  dan sebelum mereka memulakan kerja, mereka perlu diperiksa suhu badan, begitu juga dengan pejabat di tapak binaan yang harus mengikuti SOP normal baharu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan jambatan Batang Krian dan Batang Saribas di daerah Pusa di sini hari ini.

Abang Johari berkata dengan meneruskan pembinaan projek yang tertangguh sebelum ini, ia dapat membantu memulihkan semula ekonomi serta aktiviti sekitar kawasan itu secara berperingkat.

“Ia memberi pekerjaan kepada kontraktor, pembekal pembinaan dan mereka yang terlibat, sekali gus membantu memulihkan ekonomi Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, apabila pembinaan jambatan Sungai Krian dan jambatan Batang Saribas yang menelan belanja kira-kira RM450 juta itu siap kelak, ia memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat khususnya dari segi  pertanian dan pelbagai kemudahan. – Bernama