Pembinaan The One bermula

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kerja-kerja pembinaan bagi sebuah pusat membeli-belah gaya hidup baharu, The One bermula secara rasmi hari ini dengan upacara peletakan batu asas di tapaknya di Batu Satu, Jalan Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi meninjau konsep rekaan bersama pasukan projek pusat tersebut ialah Pengarah Eksekutif PAZ Holdings, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, setelah siap pembinaannya kelak, The One akan menempatkan jenama francais terkemuka tempatan dan antarabangsa, yang menawarkan kepada pembeli tempatan pelbagai pengalaman membeli-belah, makan dan bersantai di bawah satu bumbung.

Thomas Lam dari Luxe Development selaku perunding reka bentuk untuk projek tersebut berkata, “Visi reka bentuk The One adalah untuk menggiatkan semula kawasan sekitar dengan membuat oasis bandar.”

The One adalah projek terbaharu PAZ Group yang perniagaan utamanya adalah pembangunan hartanah, pengurusan fasiliti dan perhotelan.

Pengarah Eksekutif PAZ Holdings, YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah bersama pasukan projek pusat membeli-belah gaya hidup baharu, The One meninjau konsep rekaan pusat tersebut pada Majlis Peletakan Batu Asas The One, di Batu Satu, Jalan Tutong, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah ketika menyaksikan lukisan artis bagi konsep rekaan pusat membeli-belah baharu berkenaan.
Gambaran artis bagi Pusat Membeli-belah The One yang telah mula dibina. – Gambar serahan PAZ Holdings