Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Pemborong pistasio tertua Iran wariskan perniagaan keluarga

    TEHRAN – Terletak di Grand Bazaar yang terkenal di Tehran, pemborong pistasio tertua Iran secara senyap-senyap menyediakan revolusi kecil, di mana dia akan menyerahkan perniagaannya kepada anak bongsunya, dalam perdagangan yang didominasi oleh lelaki.

    Abbas Emami, 88, mula bekerja untuk bapanya sendiri pada usia 15 tahun. Lebih tujuh dekad kemudian, beg-beg pistasio di kedai keluarga dihiasi dengan slogan ‘pengalaman lebih satu abad’.

    Dia tidak tahu dengan tepat bila keluarganya mula menceburi bidang perniagaan. Tetapi “ayah saya bekerja di kedai kacang datuk sebelah ibu saya, sebelum memulakan perniagaan sendiri,” kenang Emami.

    “Saya membantu ayah saya pada waktu siang dan saya belajar pada waktu malam,” katanya. “Saya mengambil masa sedekad untuk mempelajari rahsia perdagangan.”

    Emami kini dalam proses memindahkan kepakaran itu kepada anak perempuannya Marjan yang berusia 50 tahun, yang juga akan mengambil alih firmanya, Shams Roasted Nuts.

    Abbas Emami ketika ditemui pemberita di dalam kedainya di Graz Bazaar yang terkenal di Tehran. – AFP
    Kelihatan beberapa pelanggan melihat pistasio di kedai milik Emami. – AFP
    Marjan yang bakal mewarisi perniagaan menunjukkan pistasio yang terdapat di kedai bapanya. – AFP
    Kelihatan seorang pekerja memasukkan kacang gajus ke dalam bekas. – AFP
    Majid Ebrahimi memasukkan garam ke dalam mesin pemanggang. – AFP

    Pistasio biasanya ditanam di wilayah Kerman dan Semnan. Setiap dua atau tiga bulan, ejen yang bekerja bagi pihak penanam datang dan membuat pesanan.

    Pesaing membuktikan fakta bahawa Emami yang mengambil alih perniagaan daripada bapanya pada tahun 1975 ialah pemborong pistasio tertua di bandar.

    “Kami membeli lima jenis pistasio,” kata Emami. “Kacang itu berbeza dari segi bentuk, rasa, saiz, kualiti dan harga. “Rasa yang paling sedap, pada pendapat saya, ialah Ahmad-Aghaei, yang dijual pada harga 495,000 tomans (AS$16) sekilogram,” katanya.

    Tuaian pistasio terakhir Iran, pada Oktober menghasilkan 280,000 tan yang separuh daripadanya digunakan pasaran tempatan dan selebihnya dieksport ke sekitar 75 negara.

    Hasil eksport membawa pendapatan sekitar AS$900 juta, menjadikan industri itu penyumbang besar kepada ekonomi Iran.

    Helah perdagangan

    Emami enggan membocorkan terlalu banyak tentang ilmu yang disampaikannya kepada Marjan.

    “Adalah penting untuk membeli pada masa yang sesuai,” katanya sambil menambah bahawa penyejukan yang mencukupi juga penting.

    Marjan, yang mula-mula menjalankan tugas di kedai bapanya merasa bimbang terdedah terhadap koronavirus.

    “Membuat sumber produk pada harga yang betul bukanlah mudah. Pemprosesan, kebersihan dan penyimpanan juga perlu dipantau,” katanya.

    Iran ialah salah satu daripada tiga pengguna global terbesar bagi pistasio, selepas Turki dan China, dan permintaan amat tinggi semasa Nowruz, perayaan tahun baharu Parsi.

    “Dengan penyebaran koronavirus, ayah saya tidak dapat datang ke kedai,” kata Marjan.

    “Jadi semasa Nowruz, saya membantunya bersama dua anak perempuan saya sendiri, bermula sebagai juruwang dan kemudian bertahan,” katanya.

    Memanggang kacang adalah bahagian penting dalam proses itu. Beberapa jalan dari kedai Emami, di daerah Ahangaran di ibu negara, 80kg beg pistasio mentah berlonggok tinggi.

    “Setelah bekas dibersihkan dengan garam kasar, kami memanggang pistasio sebelum mencampurkannya dalam pengisar dengan air masin atau kunyit, sebelum mengeringkannya,” kata Majid Ebrahimi, 31, yang memanggang dua tan sehari.

    Perdagangan pistasio telah berkembang dengan ketara sejak 1950an, menurut Emami.

    “Pada masa itu, perdagangan pistasio didominasi orang kaya. Semasa saya remaja, hanya ada empat rumah perdagangan borong. Hari ini, terdapat 10 kali ganda jumlah itu,” katanya.

    “Ia menjadi lebih mudah diakses pada 1950an. Sebahagian penduduk menjadi kaya dan pelanggan bertambah. Saya masih mempunyai kira-kira 100 pelanggan,” tambahnya sambil duduk di bawah gambar hitam putih ayahnya.

    Tetapi walaupun bekerja selama lebih 70 tahun, dia masih belum bersedia untuk melepaskan perniagaan kepada anak perempuannya. “Pertama sekali, perlu belajar,” kata-nya sambil tersenyum. “Ia bukan satu perniagaan yang mudah, tetapi dia akan belajar.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...