Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    ‘PemBruneian’ sektor tenaga pada kadar 72%

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Kementerian Tenaga yakin bahawa kemajuan-kemajuan dalam sektor tenaga akan dapat menyumbang kepada perkembangan warga tempatan.

    Dalam semua projek yang dilaksanakan, peluang-peluang limpahan bagi syarikat-syarikat tempatan telah pun dikenal pasti dan Kementerian Tenaga melalui garis panduan dan direktif pembangunan perniagaan akan sentiasa menjamin ekosistem yang kondusif bagi pertumbuhan pengusaha tempatan dalam sektor tenaga.

    Ke arah itu, Kementerian Tenaga dan Darussalam Enterprise (DARe) adalah dalam proses membangunkan sebuah Pusat Inkubasi Tenaga yang akan ditempatkan di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) di mana inisiatif itu akan menjadi landasan untuk memupuk pemikiran pertumbuhan bagi perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor itu.

    Perkara itu didedahkan oleh Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein dalam ucapannya di Sesi Muzakarah Antara Kementerian Tenaga dan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Beliau menambah bahawa perkembangan sektor tenaga juga akan menjamin pekerjaan bagi anak-anak tempatan dan mendukung usaha Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) untuk mengurangkan kadar pengangguran di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny menyampaikan ucapannya di sesi muzakarah antara Kementerian Tenaga dan MMN.
    Yang Berhormat Dato bergambar ramai bersama ahli MMN. – Gambar serahan Kem. Tenaga

    Yang Berhormat Dato menyatakan, “Di antara tahun 2020 dan 2021, kadar Bruneianisation pengendali-pengendali utama kekal pada tahap 72 peratus.

    “Perkembangan di dalam sektor tenaga secara keseluruhannya dianggarkan akan menyediakan pekerjaan tempatan kepada kira-kira 22,900 orang pada tahun ini, dan 28,000 orang akan tempatan menjelang 2025,” ujarnya.

    Kementerian Tenaga, ulasnya lagi, akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk MPEC dan institusi-institusi pengajian tinggi bagi memastikan bahawa kadar Bruneianisation itu akan meningkat serta untuk menjamin bekalan tenaga pekerja tempatan yang sedia.

    Sektor tenaga Negara Brunei Darussalam, tegasnya, akan sentiasa diterajui oleh anak-anak tempatan selaras dengan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Yang Berhormat Menteri Tenaga seterusnya mengongsi salah satu pencapaian utama kementeriannya ialah dalam mempelbagaikan sektor tenaga yang termasuk industri minyak dan gas ke arah mendukung usaha untuk meningkatkan kemapanan ekonomi negara.

    “Perkembangan industri tenaga hiliran telah menjadi tumpuan utama kementerian dalam menambah kepelbagaian produk eksport negara. Pada tahun 2021, sektor tersebut telah mengeluarkan produk sejumlah 14.35 juta tan.

    “Manakala bagi tahun 2022, sasaran pengeluaran daripada sektor hiliran minyak dan gas adalah sebanyak 14.6 juta tan. Bagi mencapai sasaran tersebut, kementerian akan memfokuskan kepada pengeluaran dari beberapa projek berskala besar di antaranya Brunei Fertilizer Industries (BFI), Loji Penapis Minyak dan Petrokimia di Pulau Muara Besar (PMB) dan Gas Asli Cecair (LNG).”

    Dalam mendukung pengeluaran tenaga hiliran yang semakin meningkat, Kementerian Tenaga telah mengukuhkan lagi aktiviti tenaga huluan untuk memastikan bekalan minyak mentah dan gas asli mencukupi.

    Menyentuh mengenai isu pembekalan kuasa elektrik, Yang Berhormat Dato berkata bahawa kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Elektrik telah berjaya melaksanakan penyambungan grid kebangsaan di sepanjang Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien ke Daerah Temburong di mana ia merupakan salah satu usaha ke arah menjamin pembekalan kuasa elektrik yang stabil dan efisien ke empat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam melangkah ke arah era yang moden, Jabatan Perkhidmatan Elektrik sedang melaksanakan projek pendigitalan perkhidmatan dengan menggunakan teknologi SCADA yang diharap akan dapat mengurangkan gangguan bekalan elektrik untuk orang ramai.

    “Teknologi ini akan membolehkan Jabatan Perkhidmatan Elektrik untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang terjejas oleh gangguan bekalan elektrik dan bertindak dengan lebih pantas untuk memperbetulkan sebarang masalah yang dihadapi.”

    Sementara itu, menyentuh mengenai komitmen negara dari segi perlindungan iklim dan alam sekitar, Yang Berhormat Dato, berkata dalam menggalakkan penjimatan tenaga, kementeriannya telah mengeluarkan Standards and Labelling Order 2021 yang akan mula berkuat kuasa pada Jun 2022.

    Akta itu, ulasnya, akan membantu orang ramai untuk membuat pilihan yang menjimatkan penggunaan tenaga ketika membeli alat-alat elektrik serta pada masa yang sama, akta itu juga bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan pengguna.

    Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Tenaga akan meningkatkan lagi penggunaan tenaga suria sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui dalam penjanaan tenaga kuasa elektrik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...