Pembuangan PPE sembarangan ancam alam sekitar

KUCHING, 13 SEPT – Pembuangan secara sembarangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) seperti pelitup muka ketika pandemik COVID-19 boleh memudaratkan alam sekitar, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB) pada 2020, penghasilan sisa perubatan di bandar raya seperti Manila, Kuala Lumpur, Hanoi dan Bangkok meningkat antara 154 hingga 280 juta tan sehari berbanding sebelum pandemik.

“Laporan (ADB) itu menganggarkan bahawa dengan pemakaian pelitup muka pada tahap 80 peratus dan 27 peratus populasi bandar, Malaysia mampu menghasilkan sebanyak 7.05 juta pelitup muka terpakai setiap hari bagi 32.4 juta populasi negara ini, manakala Sarawak berkeupayaan menghasilkan 628,000 pelitup muka terpakai bagi 2.91 juta populasi negeri ini,” katanya.

Bercakap pada Majlis Penyampaian Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) Sarawak 2019/2020, Abang Johari berkata angin atau air hujan boleh menghanyutkan PPE ke dalam anak sungai atau sungai dan seterusnya mencemari sumber air itu dengan virus berbahaya tersebut, sekali gus mungkin boleh menjangkiti manusia semula.

“Justeru, saya menggesa anggota masyarakat agar berhati-hati dengan gelombang ketiga COVID-19 dan mengambil peringatan tentang bahaya membuang PPE secara semberono,” katanya. – Bernama

Sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu membuang pelitup muka di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu. Perbuatan itu bukan sahaja mencemar alam sekitar tetapi juga membahayakan hidupan marin. – Bernama