Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Pembuat keju terkenal terjejas oleh inflasi

    NÁXOS, GREECE – Di ladangnya yang dilitupi bougainvillaea di pulau Naxos, Greece, Yannis Karganis memerah susu biri-birinya sambil tertanya-tanya dengan cemas bagaimana dia akan menghadapi kos yang melambung tinggi dan mengekalkan perniagaan pembuatan kejunya.

    Selepas perang di Ukraine mencetuskan lonjakan inflasi dalam harga bijirin, bahan api dan barangan lain, petani di Naxos dan di seluruh negara dalam ketakutan untuk kelangsungan hidup mereka.

    “Saya tidak mendapat apa-apa daripada keju saya,” katanya yang membuat Naxos graviera, keju kuning keras yang popular di seluruh Greece dan kawasan lain.

    “Saya bekerja siang dan malam, namun saya masih tidak boleh hidup.”

    Inflasi di Greece meningkat kepada 12 peratus pada September lalu sebelum turun kepada 9.1 peratus pada Oktober.

    Walaupun kerajaan mengumumkan hampir 280 juta euro (AS$291 juta) sebagai manfaat sokongan untuk petani muda awal tahun ini, masih terdapat tekanan berat terhadap sektor pertanian negara yang menggaji 11 peratus tenaga kerja.

    “Tahun lepas, satu beg makanan berharga 14 euro. Tahun ini 21 euro. Petrol telah melonjak kepada 2.30 euro seliter pada masa ini,” keluh Karganis sambil mengaduk bahan dalam kawah besar untuk membuat keju di dapur kecilnya.

    Para pekerja kelihatan menghasilkan keju Graviera di sebuah kilang keju. – AFP
    Tekanan pada makanan haiwan dan bahan api telah mengakibatkan penurunan dalam pengeluaran susu. – AFP
    Yannis Vavoulas memberi makan haiwannya di ladangnya. – AFP
    Seorang pekerja memegang keju Graviera di sebuah kilang keju di pulau Aegean Naxos. – AFP
    Kelihatan Yannis Karganis memerah susu salah seekor haiwan ternakannya. – AFP
    Yannis Karganis ketika memproses sendiri keju di rumahnya di pulau Aegean Naxos. – AFP

    Tekanan sosial

    Di seluruh negara, tekanan sosial semakin meningkat dalam menghadapi kenaikan harga tenaga.

    Pada bulan November, berlaku rusuhan umum mengenai isu yang melumpuhkan Greece.

    Dimitris Kapounis, ketua kesatuan koperasi pertanian Naxos, memberi amaran bahawa jika tiada apa-apa perubahan dalam jangka sederhana, tidak akan ada lagi susu di pasaran Greece, tiada daging, kentang, atau apa-apa lagi.

    Naxos graviera diperbuat daripada 80 peratus susu lembu dan 20 peratus susu biri-biri atau kambing merupakan salah satu keju paling popular di Greece.

    Orang Greece suka menaburkan keju berkenaan pada pasta, hidang bergoreng atau sebagai pelbagai hidangan keju.

    Tetapi walaupun membawa label European Protected Designation of Origin yang dibanggakan, dan mengeksport ke beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Jerman, tidak membantu membendung penurunan dalam pengeluaran apabila kos meningkat.

    Tahun ini, pengeluaran tahunan biasa lebih daripada 1,250 tan telah menurun sebanyak 130 tan, kata koperasi itu.

    Kekurangan susu

    Tekanan pada makanan haiwan dan bahan api telah mengakibatkan penurunan dalam pengeluaran susu, jelas pengembala tempatan Yannis Vavoulas.

    “Kami tidak dapat mengekalkan pemakanan haiwan dengan betul,” kata lelaki berusia 42 tahun itu.

    “Kami memberi makan dua atau tiga kali sehari dengan kuantiti yang sedikit, yang bermaksud haiwan itu menghasilkan susu yang kurang,” tambahnya.

    Krisis ini begitu meruncing sehingga sesetengah petani terpaksa menyembelih sebahagian daripada ternakan me- reka, seterusnya mengurangkan pengeluaran susu.

    Yorgos Margaritis, yang memiliki 250 ekor lembu, adalah salah seorang petani tempatan yang telah membuat keputusan yang menyakitkan ini.

    Dia memberi isyarat kepada beberapa haiwan berdekatannya yang katanya biasanya telah diinseminasi untuk menghasilkan anak lembu.

    “Sebaliknya, haiwan-haiwan itu akan disembelih,” katanya.

    Kos mengangkut barangan dari tanah besar Greece juga menjadi mahal, di mana ia mengambil masa lebih lima jam dengan bot untuk pergi dari pelabuhan Greece utama Piraeus ke Naxos. Dalam tindakan terdesak, koperasi Naxos pada April pergi ke negara jiran Bulgaria untuk membeli makanan haiwan, di mana harganya lebih rendah.

    “Jika pengeluar susu tidak dibantu… maka kita semua terbelenggu,” amaran Yannis Kavouras, ketua kilang keju terbesar di Naxos.

    Dan memandangkan peraturan status terlindung EU hanya membenarkan penggunaan susu tempatan, penghantarannya dari tempat lain juga bukan pilihan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...