Pembuat roti canai bunuh ustaz

MIRI, 2005 – Seorang pembuat roti canai yang didapati bersalah membunuh seorang ustaz dengan alasan untuk ‘projek jalan Allah’ dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Miri.

Tertuduh didapati bersalah bagi tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Dia didakwa menyebabkan kematian ustaz dengan menikam dada mangsa sebanyak dua kali pada 19 Jun 2003, kira-kira pukul 8:30 malam, di hadapan Masjid At-Taqwa Miri. Kejadian berlaku di kaki tangga masjid, ketika mangsa dalam perjalanan balik selepas menunaikan solat Isyak di masjid itu.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Mahkamah Tinggi berkata mahkamah tidak dapat menerima hujah penggulungan peguam bela tertuduh, bahawa tertuduh kurang waras ketika kejadian. Ini kerana tertuduh sedar dengan tindakannya, malah di dalam fakta membela diri secara bertulis sebanyak 14 muka surat sebelum ini tertuduh mengeluarkan kenyataan memang dia membunuh mangsa dan sudah membuat pengakuan di hadapan polis, doktor dan mahkamah.

Di dalam fakta membela diri itu juga, tertuduh mengatakan dia hampa kerana mangsa ‘terbabit dalam konspirasi mempersendakan Islam’ sedangkan melalui mimpinya dia berhasrat menjadikan mangsa sebagai ‘bos projek saya’. Dengan itu katanya, membunuh mangsa memberi peluang kepadanya untuk membersihkan fitnah ke atas dirinya dan agama. Tertuduh mengatakan tindakan itu betul mengikut penghakimannya sendiri dan apa yang dilakukannya itu mematuhi firasat yang diperoleh dari mimpi.

Selain itu menurut Hakim Mahkamah Tinggi, pembunuhan itu juga dilihat terancang memandangkan sebelum ini tertuduh pernah dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Miri bagi kesalahan membuat ugutan jenayah ke atas mangsa. Berdasarkan keterangan ini, Hakim Mahkamah Tinggi berkata sudah terlewat untuk peguam bela menimbulkan isu kurang waras, tambahan pula tertuduh pernah dirujuk ke hospital mental di Kuching sebelum ini.