Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Pembuatan minyak argan berdepan kepupusan

    ESSAOUIRA, MAGHRIBI – Minyak argan Maghribi sangat berharga dalam industri kosmetik, namun kini kebanyakannya diusahakan oleh pekerja warga emas, menimbulkan persoalan tentang berapa lama kaedah tradisional itu boleh diteruskan.

    Sekumpulan wanita, duduk di atas lantai di sebuah bengkel di pedalaman Essaouira, sebuah bandar pelabuhan di pantai Atlantik Maghribi, bekerja dengan cekap mengupas kacang argan, menumbuk buahnya dan mengekstrak minyaknya.

    Ia adalah kaedah yang memakan masa dan memerlukan tenaga kerja yang ramai, tetapi semakin disisihkan oleh golongan muda di negara Afrika Utara itu.

    Wanita-wanita itu, kebanyakannya berumur lebih 60 tahun, memerah buah-buahan kuning kecil di Cooperative Marjana secara manual, manakala yang lain menggunakan tukul untuk menghancurkan kulit yang keras dan mengeluarkan kacang.

    Buah-buahan itu kemudiannya dipilih, dipanggang, dikisar dan ditekan untuk mendapatkan minyak, yang digunakan dalam masakan tetapi juga terkenal digunakan sebagai pelembab dan anti-penuaan untuk kulit dan rambut.

    Seorang wanita mengupas kacang Argan untuk membuat minyak berhampiran bandar pantai Atlantik barat Essaouira di Maghribi. – AFP
    Kacang Argan yang siap dipanggang akan disimpan ke dalam bakul semasa proses membuat minyak. – AFP
    Pekerja muda lebih gemar bekerja di kedai cenderamata, menjual sabun argan, syampu dan pelembap. – AFP
    Kebanyakan pekerja tediri dari wanita berumur lebih 60 tahun, memerah buah-buahan kuning kecil secara manual. – AFP
    Seorang pelancong membeli sebotol minyak argan di sebuah kedai berhampiran bandar pantai Atlantik barat Maghribi Essaouira. – AFP

    “Ia kerja yang sukar dan memerlukan pengalaman, apa yang paling penting ialah kesabaran,” kata Samira Chari, 42, yang merupakan pekerja kaedah tradisional termuda di Marjana.

    Pengasas koperasi, Amel El Hantatti berkata perkerjaan itu yang bersifat fizikal telah menjadi salah satu sebab mengapa orang muda tidak berminat untuk mendapatkan pekerjaan tersebut, meskipun kekurangan pekerjaan tempatan.

    Landskap kawasan yang gersang adalah rumah kepada dusun argan yang luas. Pelancong yang berhenti untuk melihat proses pengeluaran dan membeli produk argan disambut mesra oleh kakitangan Marjana yang semuanya terdiri daripada wanita.

    Argan sangat penting bagi wilayah antara bandar Essaouira dan Agadir sehingga pada tahun 1998 UNESCO mengisytiharkan rizab biosfera di kawasan itu dan kemudiannya menambahkan penanaman pokok itu ke senarai Warisan Budaya Tak Ketaranya.

    Minyak argan ialah sumber pendapatan utama di bahagian selatan Maghribi, di mana beberapa tanaman lain bertahan dalam hujan yang rendah dan cuaca musim panas yang terik.

    Ia juga digunakan secara meluas dalam masakan Maghribi dan telah diperakui dengan Appellation of Origin sejak 2010.

    Hantatti yang mengasaskan koperasi itu pada 2005 dan berkata dia kini menggambil 80 wanita, ada yang bekerja dalam pengeluaran dan yang lain dalam jualan. Tetapi hari ini, dia berkata, “Saya benar-benar takut bahawa pengeluaran minyak argan tradisional mungkin pupus.”

    ‘Kualiti rohani’

    Pekerja muda koperasi lebih gemar bekerja di kedai cenderamata, menjual sabun argan, syampu dan pelembap.

    Salah seorang daripada mereka, Assia Chaker, 25, berkata, “Saya cuba bekerja beberapa hari dengan tukang-tukang wanita itu tetapi saya tidak dapat meneruskannya, ia satu proses yang sukar dan sangat memenatkan.

    “Saya suka berkomunikasi dengan orang ramai dan mempraktikkan bahasa lain dengan pelancong yang datang ke kedai setiap hari, berbanding menghabiskan sepanjang hari menghancurkan dan menggiling kacang argan.

    “Apa pun, suatu hari nanti kerja itu akan dilakukan oleh mesin,” tambahnya.

    Tetapi Hantatti berkata proses itu sukar untuk dijenterakan, menegaskan bahawa minyak yang diekstrak oleh mesin tidak akan mempunyai rasa yang sama seperti yang dihasilkan oleh golongan wanita secara manual.

    “Ia mengandungi semua aura positif artis ini, ketawa mereka, cerita yang mereka kongsikan semasa mereka bekerja. Terdapat kualiti rohani yang menjadikannya istimewa dan unik,” katanya.

    Koperasi mengeluarkan sehingga 1,000 liter minyak setahun dan bekerjasama dengan syarikat pelancongan yang membawa kumpulan pelawat semasa mereka melalui kawasan pantai yang popular.

    Maghribi menghasilkan sekitar 5,640 tan minyak argan setiap tahun, menurut angka rasmi, sekitar 40 peratus daripadanya untuk eksport. Perolehan sektor itu meningkat tiga kali ganda antara 2012 dan 2019 untuk mencapai sekitar AS$115 juta, menurut kementerian pertanian.

    Kemahiran yang diwarisi

    Tetapi pengeluar di Essaouira berkata generasi akan datang mempunyai sedikit berminat untuk mempelajari kaedah mereka.

    “Apa yang saya tahu sepanjang hidup saya hanyalah minyak argan,” kata Samira sambil membakar kacang dalam ketuhar tanah liat yang besar. “Bagi saya, ia sama pentingnya dengan oksigen dan air.”

    Wanita itu tidak berpeluang melanjutkan pendidikan dan bekerja 10 jam sehari untuk menyara anak-anaknya.

    Samira mempelajari setiap peringkat pengeluaran minyak argan daripada ibu bapanya, kemahiran yang secara tradisinya diturunkan dari generasi ke generasi.

    Tetapi dia berkata anak-anaknya tidak mempunyai keinginan untuk menceburi industri itu, satu pilihan yang dia fahami.

    Namun, dengan badan penyelidikan saintifik yang semakin meningkat menyokong tuntutan kesihatannya, minyak argan kekal sebagai bahagian penting dalam ekonomi tempatan dan komoditi yang dicari di seluruh dunia.

    Kerajaan Maghribi juga telah memberi lebih perhatian kepada sektor itu, terutamanya dengan membina 13 takungan untuk mengumpul sedikit hujan dan membantu mengurangkan kemarau yang semakin teruk di rantau itu.

    Rabat menyasarkan untuk menggandakan pengeluaran minyak argan menjelang 2030, dengan harapan dapat menyokong kemunculan generasi baharu kelas pertengahan luar bandar.

    Tetapi tidak ramai orang muda yang berminat terhadap kaedah itu, masa akan menentukan sama ada generasi lain akan mempelajari tradisi yang berkaitan dengan pokok itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...