Pembukaan hanya selepas siap fasa akhir, ujian dijalankan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hanya akan mengumumkan tarikh pembukaan Jambatan Temburong selepas kesemua aspek pembinaannya sempurna dilaksanakan dan proses uji cuba dijalankan.

Menurut kenyataan mengenai status terkini projek jambatan itu yang dikeluarkan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Awam bagi Projek Jambatan Temburong di Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, meskipun aspek pembinaan jambatan penghubung itu telah siap dilaksanakan, namun agensi-agensi kerajaan berkaitan pada masa ini giat menjalankan dan melaksanakan kerja-kerja fasa terakhir projek.

Ia turut membabitkan kerja-kerja akhir penyiapan bertujuan memastikan aspek keselamatan para pengguna jalan raya semasa melalui jambatan tersebut, aspek keselamatan para pengguna perairan Sungai Brunei yang melalui jambatan itu, aspek kecemasan jika berlaku kemalangan dan bencana alam serta aspek persekitaran semula jadi, supaya dapat ditangani dengan sempurna oleh pihak berwajib.

Menurut kenyataan itu lagi, kerja-kerja akhir ini adalah satu keperluan bagi mana-mana infrastruktur pembinaan terutamanya infrastruktur berskala mega seperti jambatan penghubung itu.

Sebaik selesai kerja-kerja berkenan kelak, proses uji cuba akan dilaksanakan di jambatan itu sebelum ianya dibukakan kepada orang ramai untuk beroperasi sepenuhnya.

Persediaan dan kerja-kerja akhir tersebut adalah untuk memastikan kerajaan sentiasa memastikan dan menjaga kesejahteraan serta keselamatan orang ramai dan para pengguna jambatan itu kelak.

Penjelasan dibuat berikutan terdapat spekulasi yang tular di platform media sosial mengenai tarikh pembukaan jambatan itu pada bulan Februari ini, yang sebenarnya tidak berasas dan tidak benar.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi, mempercayai mahupun mengedarkan maklumat yang tidak jelas kesahihannya diperoleh dari mana-mana platform media sosial.

Kerja-kerja pembinaan Jambatan Temburong sudah pun siap namun ia akan dibuka hanya selepas kerja-kerja fasa terakhir dalam beberapa aspek dan uji cuba dilakukan.