Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Para peniaga di negara ini secara keseluruhannya berpandangan optimistik terhadap jangkaan aktiviti perniagaan dan jualan apabila Julai mencatatkan 50.4 manakala bagi jangkaan ke hadapan bulan Ogos adalah pada 50.3 bagi Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) daripada sub-indeks utama, keadaan perniagaan.
BSI bulan Julai telah diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi di negara ini dengan skala 50 ke atas adalah yang lebih baik, 50 ke bawah merosot dan 50 adalah keadaan yang sama atau lebih kurang sama daripada sebelumnya.
Menurut kenyataan dikeluarkan BDCB, pada Julai, beberapa sektor telah menjangkakan keadaan bertambah baik dengan musim haji dan Hari Raya Aidiladha, serta acara dan perayaan berkaitan dengan ulang tahun hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-76 tahun.
Di samping itu, sektor minyak dan gas dan yang berkaitan mengongsi sentimen optimistik atas jangkaan harga minyak akan kekal di tahap yang tinggi dan tahap pengeluaran akan meningkat.
Sebahagian perniagaan pula menjangka akan menghadapi penurunan dalam aktiviti perniagaan berikutan kenaikan semula kes jangkitan COVID, pengurangan dalam perbelanjaan dalam kalangan pengguna, dan beberapa hari kelepasan awam pada bulan Julai.
Bagi Ogos pula, ia didorong oleh jangkaan peningkatan jualan dan projek, serta aktiviti perniagaan yang bertambah baik dengan kedatangan pekerja-pekerja asing dan penghantaran stok ke dalam negara.
Dengan pembukaan sempadan bermula 1 Ogos 2022, BDCB mengongsikan bahawa sebahagian perniagaan bimbang ia akan menjejaskan penjualan dengan jangkaan ramai penduduk akan berbelanja di luar negara.
Walau bagaimanapun, sesetengah perniagaan berpendapat ia mungkin akan mendatangkan manfaat, antara lainnya seperti pemulihan permintaan daripada pelanggan asing bagi barangan dan perkhidmatan di negara ini.
Dalam pada itu, sub-indeks pelaburan adalah 50.5 bagi bulan Julai 2022, 50 untuk satu bulan ke hadapan, dan 50.3 bagi tiga bulan ke hadapan, dengan peniaga secara amnya menjangkakan peningkatan pelaburan melalui pembelian mesin dan peralatan baharu; pembesaran premis perniagaan; dan penambahan stok namun menjangkakan peningkatan bagi tiga bulan ke hadapan.
Bagi Sub-indeks Pekerjaan adalah 50.2 bagi bulan Julai 2022, dan 50.2 bagi satu bulan ke hadapan, menunjukkan bahawa perniagaan, secara amnya, menjangka akan mengambil pekerja baharu pada bulan Julai 2022 berikutan peningkatan dalam jumlah projek serta aktiviti perniagaan, dan untuk menggantikan pekerja-pekerja yang telah menamatkan perkhidmatan.
BDCB menjelaskan bahawa para peniaga juga mengongsikan rancangan untuk terus mengambil pekerja baharu pada bulan Ogos 2022 diakibatkan isu kekurangan tenaga kerja masih berterusan, yang antara lainnya disebabkan oleh kelambatan dalam pengambilan pekerja asing dan juga cabaran dalam pengambilan pekerja tempatan.
Sub-indeks Kos adalah 50.3 bagi bulan Julai 2022, dan 50.1 bagi satu bulan ke hadapan, menunjukkan bahawa para peniaga, secara amnya, menjangka kos menjalankan perniagaan akan meningkat pada bulan Julai dan Ogos 2022.
Dari segi sektor ekonomi, enam daripada 11 sektor mencatatkan sentimen optimistik pada bulan Julai 2022. Sektor pengangkutan dan komunikasi, serta kewangan dan insurans menunjukkan kenaikan indeks yang tertinggi, didorong oleh pelonggaran langkah-langkah sekatan selanjutnya.
Di samping itu, menurut BDCB, sektor minyak dan gas dan yang berkaitan juga menjangka prestasi dan tahap keuntungan akan bertambah baik dengan tambahan pengeluaran dan harga minyak yang lebih tinggi.
Sebaliknya, sektor perkhidmatan swasta lain menunjukkan sentimen perniagaan yang pesimistik bagi bulan Julai 2022 dengan jangkaan penurunan produktiviti disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja.
Sementara itu, sektor pembuatan, pembinaan, harta tanah dan pemilikan kediaman, dan kesihatan serta pendidikan melaporkan sentimen yang hampir sama pada bulan Julai 2022 berbanding dengan bulan Jun 2022.