LUXOR – Kompleks kuil Karnak di bandar Luxor yang kaya dengan monumen Mesir Hulu itu telah dipenuhi dengan para pelancong, kerana negara Afrika Utara itu telah menyaksikan kebangkitan dalam sektor pelancongan selepas kemerosotan yang lama di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Kesibukan di sekitar kuil dan tapak arkeologi lain di Luxor lebih ketara terutamanya apabila dan selepas Mesir membuka semula Avenue of Sphinxes purba di bandar itu pada Jumaat lalu selepas kerja-kerja pengubahsuaian selama bertahun-tahun.
Pelancong dari negara berbeza memenuhi laluan pejalan kaki purba berusia 2,400 tahun dengan 1,057 sfinks berkepala biri-biri jantan dan berkepala manusia di kedua-dua belah jalannya.
Mesir berhasrat untuk menggunakan pembukaan semula jalan bersejarah itu untuk mempromosikan Luxor sebagai muzium terbuka terbesar di dunia dan menyerlahkan kepelbagaian potensi pelancongan dan arkeologinya.
“Tempat itu kaya dengan budaya dan sejarah… sangat mengujakan untuk melihat secara dekat tamadun Mesir purba,” Ray Rasmany, seorang pemuda AS, memberitahu Xinhua ketika dia berjalan melalui kuil Karnak.


Rasmany, yang pertama kali melawat Mesir berkata negara itu selamat dan rakyatnya mesra, sambil menambah langkah anti-COVID-19 telah diterapkan dengan baik di negara tersebut.
Sebagai salah satu sumber pendapatan utama Mesir, pelancongan menyumbang kira-kira 12 peratus daripada KDNK negara itu. Ia menjadikan Mesir mencatatkan pendapatan AS$13 bilion pada 2019 dengan ketibaan lebih 13 juta pelancong.
Lonjakan itu berlaku selepas beberapa tahun kemerosotan dalam sektor pelancongan yang disebabkan oleh nahas pesawat Rusia di Semenanjung Sinai pada Oktober 2015 yang menyebabkan 224 maut dan kemudiannya pesawat EgyptAir terhempas pada Mei 2016 yang mengorbankan kesemua 66 penumpang di dalamnya.
Kemudian, pelancongan di Mesir mula merosot semula kerana pandemik COVID-19 dan penutupan sempadan semua negara di seluruh dunia.
“Ledakan pelancongan muncul semula di sini selepas Rusia menyambung semula penerbangan terus ke bandar-bandar pelancongan Mesir pada Ogos selepas larangan enam tahun berikutan letupan pesawat Rusia,” Alaa al-Sahaby, pemilik sebuah hotel di Luxor, memberitahu Xinhua.
Lelaki pertengahan umur itu menyatakan langkah berjaga-jaga terhadap pandemik COVID-19, kempen vaksinasi yang berterusan dan keputusan kerajaan untuk meneruskan aktiviti pelancongan membantu memulihkan sektor yang terkesan itu.
“Hotel saya secara tidak dijangka telah penuh ditempah.. ini hampir berlaku dengan kebanyakan hotel lain di seluruh Mesir, bukan sahaja di Luxor,” beritahu al-Sahaby kepada Xinhua.
Beliau menyuarakan harapan agar pelancong China kembali segera ke Luxor, berkata pelancong China itu dahulunya datang beramai-ramai dan berbelanja sakan di bandar itu.
“Pelancong China lebih suka pelancongan budaya. Itulah sebabnya mereka lebih suka melawat Luxor. Ledakan sebenar akan berlaku jika pelancong China akan melawat lagi,” kata pemilik hotel itu.
Statistik rasmi Mesir menunjukkan China menjadi sumber pelancong keempat terbesar di Mesir pada 2017 dan menurut kedutaan China di Mesir, lebih setengah juta pelancong China melawat Mesir pada 2018.
Bagi 2021, Mesir menyasarkan pendapatan AS$6 bilion hingga AS$9 bilion dalam pelancongan dan berharap menerima lebih enam juta pelancong.
Mesir menerima kira-kira 3.5 juta pelancong pada separuh pertama 2021, manakala jumlah pendapatan adalah kira-kira AS$4 bilion, menurut data kementerian pelancongan. – Xinhua