Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Pembukaan semula Malaysia perlu, namun apa ‘harganya’?

    KUALA LUMPUR – Bermula 1 April ini, Malaysia akan dibuka semula hampir sepenuhnya yang menyaksikan antara lain pelawat lengkap vaksinasi dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin, sementara had waktu operasi perniagaan yang dikenakan sebelum ini ditarik balik.

    Menurut kerajaan itu, pembukaan semula negara atau “fasa peralihan kepada endemik” itu adalah tepat pada masanya, hasil program pemvaksinan dengan kadar vaksinasi yang agak tinggi iaitu 78.9 peratus. Walaupun kes baharu masih tinggi, kadar kemasukan ke hospital dan kes yang teruk berkurangan.

    Amnya rakyat Malaysia dan masyarakat di luar negara teruja dengan perkhabaran itu. Ini termasuk pakar ekonomi dan komuniti perniagaan yang sudah semestinya gembira. Namun bagi pengamal perubatan, ada yang optimistik dalam waspada sementara yang lain pula berasa bimbang.

    Perunding pediatrik, Dr Musa Mohd Noordin melihat pembukaan semula negara ketika kes jangkitan merekodkan angka tertinggi baharu – jumlah kes harian tertinggi sebanyak 33,209 dicatatkan pada 4 Mac lepas – mungkin bersifat bertentangan.

    “Tahap ketidakpastian masih tinggi dan ini perlu ditangani secara bijak sekiranya tidak mahu kegembiraan daripada pembukaan semula negara ini menimbulkan rasa selamat yang tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam masyarakat,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

    Kerajaan Malaysia memutuskan sempadan negaranya akan dibuka bermula 1 April ini. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu selari dengan perancangan memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’ yang akan merancakkan kembali ekonomi negara khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk sepanjang COVID-19 melanda. – Bernama

    Tidak boleh disangkal bahawa Malaysia perlu dibuka semula demi ekonominya. Susulan penularan pandemik COVID-19, kira-kira 580,000 isi rumah jatuh di bawah paras garis kemiskinan dalam tempoh dua tahun lepas. Selain itu, lebih 6.1 juta rakyat memiliki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mereka setakat 30 September lalu, dan daripada jumlah itu pula, sekitar 3.6 juta mempunyai simpanan persaraan tidak sampai RM1,000.

    Ini belum lagi mengambil kira kesan banjir besar yang berlaku pada Disember lepas yang menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan sementara kerugian pula berjuta-juta ringgit.

    Pakar ekonomi Prof Yeah Kim Leng daripada Sunway Unversity memberitahu Bernama, pembukaan semula itu merupakan suntikan yang diperlukan oleh ekonomi, dan menurut beliau, sekatan yang berpanjangan mungkin tidak lagi dapat memberikan hasil yang dikehendaki kerana kelesuan pandemik sudah mula dirasai.

    “Malaysia sedang pulih dan untuk memastikan perkembangannya kita perlu tarik balik sekatan. Pembukaan semula ini tepat pada masanya bagi mengurangkan kesan terhadap ekonomi,” katanya.

    Manfaat besar sektor pelancongan

    Beliau menjangka sektor pelancongan menjadi penerima faedah terbesar daripada keputusan kerajaan itu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ketika fasa peralihan kepada endemik ini sempadan negara dibuka sepenuhnya kepada pelawat yang lengkap vaksinasi, iaitu mereka yang diuji negatif COVID-19 dua hari sebelum ketibaan dan dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan. Mereka juga tidak perlu lagi dikuarantin.

    Tempoh operasi perniagaan yang selama ini dihadkan, dibenarkan beroperasi mengikut syarat lesen perniagaan mereka seperti restoran mamak 24 jam, sementara jumlah kehadiran dalam satu-satu perhimpunan juga tidak lagi dihadkan, namun masing-masing perlu mengaktifkan aplikasi MySejahtera Trace.

    Dalam pada itu pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.

    Jurucakap Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong yang berasa lega dengan pengumuman itu, berkata masanya sudah tiba untuk negara berbuat demikian.

    Menurutnya, sepanjang dua tahun lepas, pengusaha pelancongan melalui tempoh perit dengan pendapatan merudum berikutan ketiadaan pelancong asing yang lazimnya berbelanja besar.

    “Kami cuba bertahan menerusi pelancongan domestik yang menghidupkan semula ekonomi, namun sektor itu tidak mampan. Rakyat Malaysia adalah pelancong bebas. Mereka lebih suka tinggal bersama-sama keluarga dan makan-makan, bebas melawat tempat pelancongan tanpa mengupah pemandu pelancong,” jelasnya kepada Bernama.

    Bimbang akan akibat

    Di sebalik kegembiraan rata-rata rakyat, ada yang bimbang dan teringat tentang akibat Pilihan Raya Negeri Sabah serta pengoperasian bazar Ramadan tahun lepas yang menyaksikan peningkatan mendadak jangkitan.

    Menurut pakar kesihatan, setakat ini beban kes adalah terkawal yang merupakan hasil kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan individu dewasa dan remaja.

    “Kita tidak boleh tunggu sampai 100 peratus (penduduk divaksinasi) sebelum kita buka semula negara dan cuba pulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat,” kata Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki, pakar epidemiologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

    Bagaimanapun beliau dan beberapa pakar kesihatan lain mengakui akan ada akibat daripada pembukaan semula negara itu dengan masing-masing menjangka berlaku peningkatan kes. Petugas barisan hadapan khususnya, bimbang dengan kesan yang bakal diterima.

    Setiausaha Agung Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan Sivaranji Manickam memberitahu Bernama walaupun kesemua mereka telah divaksinasi, rutin mereka akan tergendala sekiranya berlaku jangkitan kerana mereka perlu dikuarantin.

    Pertubuhannya mewakili pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di kemudahan awam seperti hospital dan sekolah dengan masing-masing bergaji rendah, kurang RM1,500 sebulan.

    “(Jika dijangkiti), kami tidak boleh bekerja, tidak boleh keluar,” katanya, menambah golongan terbabit tidak mampu menanggung kesan ekonomi sekiranya rutin kerja mereka tergendala akibat dikuarantin dengan ada yang mungkin tidak dibayar gaji.

    Pada masa sama, dunia berdepan ancaman subvarian membimbangkan BA.2 yang dilaporkan lebih mudah tersebar berbanding strain BA.1 COVID-19 yang lebih “lemah”. Subvarian BA.2 dilaporkan mendominasi jangkitan di Hong Kong dan sedang menular di India, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

    Sekalipun vaksin boleh mencegah jangkitan teruk dan kematian, mereka yang tidak divaksinasi atau pesakit komorbid adalah golongan yang amat terdedah kepada jangkitan itu.

    Paling dibimbangkan ialah kanak-kanak. Walaupun kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun termasuk dalam program pemvaksinan COVID-19 besar-besaran di Malaysia, jumlah yang menerima vaksin masih rendah iaitu sekitar 30 peratus setakat ini. Kanak-kanak berusia bawah lima tahun pula tidak dibenarkan menerima vaksin itu, sekali gus menjadikan mereka golongan terdedah.

    Pakar virologi di Monash University-Malaysia, Dr Vinod Balasubramaniam berkata beliau lebih suka jika Malaysia menunggu beberapa bulan lagi sebelum pembukaan semula bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak divaksinasi dan orang dewasa menerima dos penggalak.

    “Bagi saya langkah ini terlalu awal. Memang secara keseluruhan kadar vaksinasi bagus, namun jika dilihat di sesetengah negeri, angkanya tidak seragam,” jelas beliau.

    Beliau dan pakar kesihatan lain menekankan pentingnya kerajaan meneruskan pendidikan tentang vaksin serta langkah outreach kepada golongan yang sukar diyakinkan untuk menerima vaksin. Satu caranya ialah menyampaikan mesej kepada umum bahawa menyelamatkan nyawa tidak semestinya perlu “mengorbankan” ekonomi.

    Dalam pada itu, Dr Musa yang mengakui sekatan kesihatan yang ketat tidak boleh dilaksanakan untuk selama-lamanya, berkata kerajaan wajar berhati-hati dalam memberi penjelasan dengan tidak memperkecil COVID-19 dan risikonya. Sebaliknya kata beliau, adalah lebih baik bagi kerajaan memberi penekanan tentang bagaimana langkah kesihatan dan usaha menyelamatkan nyawa dapat membantu ekonomi masyarakat.

    “Kajian menunjukkan kebimbangan terhadap kedudukan ekonomi seseorang mendorong dia menjadi individu yang lebih baik dari segi mencegah jangkitan virus dan menyokong dasar kesihatan untuk mengekang penularan virus,” katanya.

    Menurut beliau, komunikasi risiko yang bertanggungjawab terbukti berkesan jika komunikasi itu secara konsisten menyampaikan mesej bahawa langkah pencegahan kesihatan awam adalah penting dan perlu dipatuhi bagi mengelakkan dibuang kerja dan melindungi sumber pendapatan yang sekali gus mencegah masalah ekonomi yang lebih buruk.

    Dalam pada itu, ada sesuatu yang berbeza berkaitan keputusan kerajaan kali ini yang mungkin juga menyokong keputusan tersebut – kewujudan ubat khusus untuk COVID-19. Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan 110,000 unit ubat antiviral Paxlovid keluaran Pfizer akan tiba di negara ini pada bulan ini.

    Bagaimanapun Dr Rafdzah mengingatkan ubat itu bukan ‘silver bullet’ atau penyelesaian mutlak COVID-19 serta tidak boleh menggantikan langkah pencegahan sedia ada, iaitu pemakaian pelitup muka berkualiti dan vaksinasi lengkap.

    “Ini termasuk mendapatkan dos penggalak,” tegasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...