Pembukaan semula sekolah satu lagi cabaran besar KKM

KOTA KINABALU, 9 JULAI – Pembukaan semula sekolah secara berperingkat bermula 15 Julai ini merupakan satu lagi ujian besar yang perlu dihadapi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengekang penularan COVID-19 di negara ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Justeru, katanya peranan semua pihak amat diperlukan bagi mengelakkan wujud kluster sekolah.

“Kita tidak mahu ada kluster sekolah. Oleh itu, kepatuhan kepada apa yang digariskan dalam kebiasaan baharu ini amat perlu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata pihak yang berkenaan juga harus melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan mereka yang berkenaan terjamin. – Bernama