‘Pembunuh bersiri’ akan dibicarakan

PARIS, 16 DIS – Seorang bekas pegawai polis Argentina yang dikaitkan dengan pembunuhan ratusan orang ketika ‘perang jahat’ sedang dalam perjalanan pulang ke Buenos Aires hari ini, selepas Perancis mengeluarkan perintah ekstradisi ke atas beliau untuk membolehkan dia dibicarakan susulan kehilangan seorang pelajar.

Mario Sandoval ditahan Rabu lalu di kediamannya berhampiran Paris, selepas pihak berkuasa Perancis membenarkan beliau diesktradisi, sekali gus menga-khiri proses perundangan selama lapan tahun.

Lelaki berusia 66 tahun yang menetap di Perancis sejak 1985 dan memperoleh kerakyatan negara itu, dihantar pulang dengan menaiki penerbangan tengah malam tadi.

“Semuanya berjalan seperti dirancang,” kata peguam yang mewakili kerajaan Argentina.

Argentina percaya Sandoval memiliki peranan dalam lebih 500 kes penculikan, seksaan dan pembunuhan, yang menyebabkan hampir 30,000 penduduk ‘hilang’ ketika era pemerintahan diktator tentera pada 1976-83.

Perintah ekstradisi itu bagaimanapun hanya berkisarkan kepada penculikan pada Oktober 1976, membabitkan seorang penuntut seni bina, Hernan Abriata yang mayatnya tidak pernah ditemui. Pihak berkuasa Argentina berkata, penyiasat memiliki beberapa saksi yang mengaitkan Sandoval dengan pembunuhan Abriata.

Peguam Sandoval ketika membantah perintah berkenaan berkata, anak guamnya tidak akan dibicarakan secara adil di Argentina dan bakal berdepan keadaan yang buruk jika ditahan.

Rayuan mereka ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah bagaimanapun gagal. – AFP

Gambar fail pada 9 April 2014 menunjukkan ibu kepada Hernan Abriata, Beatriz Cantarini de Abriata berdiri di sebelah potret bekas pegawai polis Argentina di depan kedutaan Perancis, sementara menunggu keputusan mahkamah bagi kes Sandoval. – AFP