DHAKA, 4 Mac – Seorang lelaki warganegara Bangladesh dihukum gantung di dalam sebuah penjara di luar Dhaka berhubung pembunuhan seorang diplomat Saudi pada 2012, menurut seorang pegawai hari ini.
Khalaf Al Ali, 45, yang bekerja di bahagian konsulat kedutaan Arab Saudi, telah ditembak di zon diplomatik bandar itu, di hadapan apartmen sewanya. Dia kemudiannya meninggal dunia di hospital.
Pihak polis ketika itu berkata Saiful Islam, 30, yang dikenakan hukuman gantung semalam, mengetuai sekumpulan geng yang cuba merompak diplomat berkenaan.
“Dia dihukum bunuh menurut satu perintah mahkamah,” kata pegawai penjara, Shahjahan Ahmed kepada AFP.
Pada Ogos lalu, Mahkamah Agung telah memutuskan hukuman mati kepada Saiful.
Dia pada asalnya dihukum mati pada 2013 semasa perbicaraan mahkamah yang menjelaskannya sebagai dalang utama pembunuhan tersebut.
Lebih daripada dua juta rakyat Bangladesh bekerja di Arab Saudi, yang juga sekutu utama dan penyumbang dana terbesar negara Asia Selatan itu.
Bangladesh sering kali mengenakan hukuman mati kepada pesalah sekalipun mendapat kritikan daripada beberapa kumpulan hak asasi kemanusiaan.
Beberapa tahun lalu, kira-kira lima pemimpin tertinggi, yang didakwa terlibat jenayah perang dan hampir 12 orang ekstremis dihukum gantung di sebuah penjara yang dikawal ketat. – AFP

































