Pembunuh kanak-kanak dihukum mati

YANGON, 23 DIS – Sebuah kumpulan etnik minoriti yang secara tidak rasmi mengendalikan wilayah timur Myanmar telah menjatuhkan hukuman mati kepada seorang lelaki kerana penculikan, rogol dan pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Seorang pegawai dari Parti Kemajuan Negeri Shan hari ini berkata, hukuman mati adalah ‘satu-satunya pilihan’ bagi lelaki berusia 30 tahun itu, yang menyerang kanak-kanak itu sebelum membuang tubuhnya dari tebing.

Negeri Shan adalah tempat tinggal bagi beberapa kumpulan etnik bersenjata yang diberi kebenaran autonomi tidak rasmi dalam perjanjian dengan tentera Myanmar.

“Ini adalah pengajaran yang harus diberikan kepada orang ramai, supaya mereka tidak melakukan kejahatan sama pada masa depan,” kata jurucakap parti, Sai Than Aung.

“Ibu bapa kanak-kanak itu menuntut kami memberinya hukuman mati – seperti yang dilakukannya kepada anak mereka.”

Peguam yang berpangkalan di Yangon dan aktivis hak wanita, Hla Hla Yee, berkata jenayah itu sangat menjijikkan, tetapi menyatakan hukuman mati adalah hukuman yang berat.

“Ada ruang lingkup hukuman mati yang boleh dijatuhkan kepada orang yang tidak bersalah dan ketidakadilan dapat dilakukan,” katanya. – AFP