TEGUCIGALPA, 5 Mei – Hukuman penjara seorang lelaki yang membunuh Ratu Cantik Honduras dan kakaknya kerana cemburu akan disebut pada Jun selepas mahkamah kelmarin mendapati beliau bersalah di atas pembunuhan berganda 2014.
Plutarco Antonio Ruiz, warga Honduras berusia 34 tahun, menutup mulut dan tunduk ketika juri di mahkamah Tegucigalpa mengisytiharkan dia bersalah membunuh ratu cantik Maria Jose Alvarado, 19, dan kakaknya Sofia Trinidad Alvarado, 23.
Dua wanita itu dibunuh pada 13 November 2014 dan mayat mereka ditemui setelah dikebumikan di tebing sungai enam hari kemudian, pada tarikh Maria Jose yang juga Ratu Cantik Honduras sepatutnya terbang ke London untuk bersaing dalam pertandingan ratu cantik dunia tahun itu.
Ruiz menembak adik-beradik itu beberapa kali kemudian dan mengebumikan mereka dengan bantuan rakan sejenayah, menurut dapatan mahkamah.
Beliau merupakan teman lelaki Sofia pada masa itu dan dikatakan melakukan jenayah itu kerana cemburu melihat dia menari dengan seorang lelaki semasa majlis hari jadi pada malam sama.

Hakim akan menjatuhkan hukuman penjara Ruiz selepas pendengaran pada 2 Jun.
Ruiz berdepan hukuman sehingga 20 tahun penjara kerana membunuh Maria Jose dan 40 tahun penjara untuk Sofia, selepas juri memutuskan pembunuhan kedua adalah jenayah kebencian berasaskan jantina yang membawa hukuman lebih berat.
Dia boleh diarahkan untuk menjalani hukuman itu satu demi satu dan bukan serentak.
“Kami tidak berpuas hati. Kedua-dua kes adalah ‘feminicide’ dan kami mungkin membuat rayuan. Sofia ditembak lapan kali dan Maria Jose 16 kali,” ibu kepada mangsa, Teresa Munoz memberitahu wartawan.
Semasa perbicaraan pada 21 April, Ruiz kelihatan terganggu semasa muncul di mahkamah yang menyerupai seseorang yang sakit mental tetapi pakar-pakar perubatan berkata, dia hanya berpura-pura.
Selepas didapati bersalah pada Khamis, polis bersenjata dan bertopeng mengiringi Ruiz keluar dari kamar mahkamah menuju lokap sementara menunggu hukuman dijatuhkan. – AFP