KUALA LUMPUR, 8 JULAI – Pembunuhan mengejutkan bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe di sebuah negara paling selamat di dunia, mengejutkan para pemimpin dunia dan mencetuskan kecaman, dengan Iran menggelarnya ‘tindakan keganasan’ manakala pemimpin-pemimpin Eropah mengutuk serangan ‘keji’ itu.
Penghormatan terus mencurah-curah ketika kerajaan melahirkan kesedihan dan bersolidariti dengan Jepun atas kehilangan Abe, yang merupakan pemimpin paling lama Jepun sebelum berundur dalam 2020 atas sebab-sebab kesihatan.
Abe, 67, ditembak dari belakang di Nara, barat Jepun ketika menyampaikan ucapan kempen. Beliau diterbangkan ke hospital berhampiran namun diisytiharkan meninggal dunia kemudiannya.
Antara yang mengutus takziah ialah Presiden AS, Joe Biden yang mengatakan beliau ‘terkejut, marah dan amat sedih’ serta mengucapkan takziah kepada keluarga Abe.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang bergegas pulang ke Tokyo dari acara kempen di seluruh negara, mengecam ‘tindakan ti-dak boleh dimaafkan itu.’ Menurutnya, kempen dan pilihan raya pada Ahad bagi dewan tinggi parlimen akan diteruskan.
Pemimpin dari Turkiye sehinggalah Singapura turut mengecam serangan itu. Manakala pemimpin Eropah seperti Perdana Menteri Boris Johnson dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menyelarnya sebagai ‘serangan pengecut.’
Presiden Korea Selatan, Toon Suk Teol menggelar penembakan itu ‘tindakan jenayah tidak boleh ditoleransi, manakala Iran menyelarnya sebagai ‘tindakan keganasan,’ menurut jurucakap kemen-terian luarnya.
Pemimpin-pemimpin lain yang turut mengutuskan takziah dan mengecam serangan itu termasuklah Raja Abdullah II dari Jordan; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan ramai lagi. – AP