Pembunuhan badak kurang kerana perintah berkurung

JOHANNESBURG, 22 SEPT – Perintah berkurung anti-COVID-19 di Afrika Selatan telah membantu mencapai pengurangan drastik pembunuhan badak, tetapi pakar memberi amaran sebaik sahaja negara kembali melonggarkan sekatan, kemungkinan pembunuhan salah satu binatang terancam di dunia itu akan terus melonjak.

Usaha yang berlipat ganda sangat penting untuk melindungi populasi badak di negara itu, menurut pegawai Afrika Selatan dan aktivis hidupan liar bersempena dengan Hari Badak Sedunia hari ini. Afrika Selatan telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara bagi membendung penularan koronavirus yang bermula pada penghujung Mac dan menghentikan perjalanan domestik dan antarabangsa. Negara itu kemudiannya secara perlahan-lahan melonggarkan sekatan dan membenarkan pelancong antarabangsa kembali pada 1 Oktober.

“Perintah berkurung telah memberikan peluang kepada kami. Tiada pelancong dari dalam dan luar negara serta menghalang pembunuh binatang untuk berkeliaran dan kami mampu meningkatkan langkah perlindungan,” kata Albi Modise, jurucakap bagi Jabatan Alam Sekitar, Perhutanan dan Perikanan.

Dalam tempoh enam bulan pertama 2020, angka badak yang dibunuh di Afrika Selatan susut lebih daripada 50 peratus dari tahun sebelumnya, kepada 166, menurut jumlah rasmi dari jabatan alam sekitar.

“Kami menyedari bahawa sebaik sahaja negara kembali dibuka, kami perlu meningkatkan usaha kami untuk potensi ancaman pembunuhan,” kata Modise memberitahu The Associated Press.– AFP

Pegawai Afrika Selatan berkata perintah berkurung COVID-19 telah membantu mencapai pengurangan drastik pembunuhan badak yang dianggap sebagai salah satu binatang terancam di dunia. – AP