BURNLEY, 2 April – Tottenham mendapat nafas baru dalam pemburuan gelaran Liga Perdana apabila Eric Dier dan Son Heung-Min memberikan inspirasi 2-0 ke atas Burnley di Turf Moor semalam.
Dengan Chelsea mengalami kekalahan mengejut 2-1 di gelanggang sendiri kepada Crystal Palace, skuad Mauricio Pochettino yang berada di tangga kedua telah mengurangkan jurang kepada tujuh mata ke atas pendahulu, meningkatkan lagi debaran dalam enam minggu terakhir musim ini.
Pemain antarabangsa England, Dier membuka jaringan di pertengahan separuh masa kedua dan penyerang Korea Selatan, Son telah memastikan kemenangan Spurs.
Spurs telah tiba di Lancashire dengan usaha untuk mengejar Chelsea, sementara cuba melebarkan lagi jurang mereka dengan Manchester City, yang akan bermain pada hari ini, ketika perlumbaan bagi merebut slot Liga Juara-Juara semakin rancak. Tanpa penyerang Harry Kane, beberapa persoalan telah timbul mengenai potensi barisan depan Spurs.

Tetapi Dele Alli berada dalam prestasi terbaik kebelakangan ini dan Spurs bergantung kepadanya dan Vincent Janssen untuk merobek Burnley.
Namun, di awal perlawanan, Spurs kelihatan keberatan untuk membuat serangan dan lebih memilih untuk menggunakan lima pemain di belakang, berharap untuk mengekang mana-mana serangan awal Burnley.
Mereka bernasib baik kerana di awal perlawanan hanya beberapa peluang di depan gawang dihasilkan, yang mana kedua buah pasukan kelihatan bergelut untuk mendapatkan momentum di separuh masa pertama.
Aksi di awal perlawanan kekal perlahan sehingga Spurs mula mencipta peluang sebenar menerusi percubaan Alli. – AFP