Pemedulian Raja terhadap pendidikan negara semasa wabak

Oleh Yusrin Junaidi

Perubahan drastik dalam sistem pendidikan bagi menangani penularan wabak COVID-19 setentunya memberikan impak sangat besar kepada perkembangan pendidikan di Negara Brunei Darussalam, sekali gus mendorong negara untuk terus mengorak langkah lebih awal daripada rancangan yang telah ditetapkan.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  melalui Kementerian Pendidikan berusaha mengekang kemunculan jangkitan baharu COVID-19 (to flatten the curve), dengan memperkenalkan langkah-langkah radikal seperti penutupan sementara sekolah-sekolah dan institusi tinggi di seluruh negara.

Justeru, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan sistem pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi semua sekolah rendah, menengah, Pusat Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan termasuk sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan sekolah-sekolah swasta bermula pada penggal persekolahan kedua.

Bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar-pelajar adalah terjaga serta terhindar daripada sebarang kemungkinan jangkitan, pelajar-pelajar dikehendaki untuk terus berada di rumah dan mengikuti pembelajaran secara dalam talian melalui pelbagai landasan mengikut kapasiti sekolah masing-masing, sama ada melalui e-mel, Google Docs, WhatsApp, persidangan video, Microsoft Teams, Zoom dan platform media sosial atau sebarang aplikasi telekomunikasi yang bersesuaian.

Selain itu, pihak sekolah juga memberikan Home Pack Learning (HPL) bagi pelajar-pelajar yang tidak mempunyai akses kepada Internet. Pendidikan melalui rancangan TV juga dilaksanakan sebagai sokongan tambahan pengajaran dan pembelajaran melalui media massa. Apabila kes-kes jangkitan berjaya dikawal dan sekatan-sekatan dilonggarkan, Kementerian Pendidikan mula membuka sekolah-sekolah dan institusi di seluruh negara secara berperingkat. Para pelajar dibenarkan kembali ke sekolah tetapi diwajibkan mengamalkan langkah-langkah penjarakan sosial dan mengamalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan, memakai penutup mulut dan hidung dan pensanitasi tangan.

Normal baharu diterapkan selepas sesi pem-belajaran dibuka semula dengan para pelajar dikehendaki memakai penutup mulut dan hidung bagi mengekang jangkitan COVID-19 di dalam kelas. – Gambar fail Muiz Matdani

Pemimpin dan pendidikan

Dalam menghasilkan pemimpin dan pendidikan berkualiti berasaskan Standard Kepimpinan Sekolah Brunei Darussalam (BDSLS), pemimpin-pemimpin sekolah harus dilengkapkan dengan kompetensi yang diperlukan untuk memastikan mereka bersedia dan disokong dengan baik. Dengan kompetensi berkenaan, negara akan mempunyai para pemimpin berkualiti yang mampu memandu sistem pendidikan ke arah kualiti pendidikan yang dihasratkan.

Kementerian Pendidikan melalui Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018-2022 sedang melaksanakan usaha transformasi sumber tenaga manusia, khususnya para guru supaya mempunyai kompetensi profesional, iaitu layak dan cekap menyempurnakan tugas dan tanggungjawab.

Sehubungan itu, Baginda Sultan telahpun memperkenankan penaikan taraf Bahagian Perkembangan Sumber Tenaga Manusia di Kementerian Pendidikan menjadi Jabatan Pengurusan Pendidik.

Usaha transformasi ini sangat diperlukan, kerana ciri-ciri dalam bilik darjah di abad ke-21 ini menghendaki perubahan signifikan, baik dari pihak guru mahupun pihak penuntut atau pelajar. Sektor pendidikan perlu bertindak balas dengan cepat, sejajar dengan tanggungjawabnya untuk membangunkan generasi berwibawa dan berkemahiran. Ilmu daripada pendidikan yang berkualiti bukan sahaja sesuatu yang signifikan kepada masyarakat malahan dituntut oleh agama.

Pendidikan yang berkat menjanjikan kejayaan dunia dan akhirat yang merupakan kunci bagi membuka pintu-pintu peluang yang bakal membantu individu mahupun negara dalam mengorak langkah kemajuan. Oleh yang demikian, pendidikan merupakan faktor utama dalam merealisasikan wawasan 2035 dan kerajaan telah merangka strategi-strategi tertentu dalam pendidikan untuk melahirkan rakyat Brunei yang berpendidikan, berkebolehan tinggi dan berjaya.

Guru berkualiti

Usaha yang dilaksanakan tidak akan berjaya sekiranya negara tidak diwakili oleh barisan guru yang berkemahiran dan berprestij kerana guru merupakan medium yang menyalurkan ilmu secara langsung kepada pelajar seterusnya membentuk keintelektual, moral, sikap dan juga akidah mereka.

Oleh yang demikian, peningkatan kemahiran guru juga perlu dititikberatkan dalam memastikan guru dapat berinteraksi dengan pelajar sepanjang pembelajaran dan menyempurnakan tugas mereka dengan berkesan. Justeru itu, kerajaan sedang giat memberikan kursus dan bengkel untuk membimbing guru dalam meningkatkan dan memperbaiki lagi inovasi dan kaedah pengajaran bagi memastikan isi pengajaran dapat diterima oleh pelajar dengan mudah dan berkesan.

Penerapan teknologi

Dalam memastikan pelajar dapat menerima pembelajaran yang disampaikan, guru haruslah proaktif dan inovatif dalam menerokai cara pengajaran baharu dan berkesan.

Meskipun kaedah pengajaran tradisional mungkin telah terbukti keberkesanannya, guru haruslah sentiasa bersedia untuk mencuba kaedah baru kerana persekitaran sentiasa berubah. Oleh yang demikian, guru haruslah peka dengan keadaan sekeliling dan menerapkan kaedah pembelajaran seiring dengan peredaran zaman. Antaranya adalah dengan penggunaan teknologi dalam pengajaran.

Penggunaan teknologi dalam pembelajaran akan mempersiapkan pelajar menghadapi dunia nyata yang penuh dengan kemajuan dan kemodenan. Oleh yang demikian, kerajaan menggalakkan penerapan teknologi dalam pembelajaran dan menasihatkan guru dan pelajar agar memanfaatkan teknologi yang ada dalam pembelajaran mereka.