Oleh Amri HTZ
Harga kayu di pasaran tempatan mahupun global sejak pandemik melanda telah melonjak yang menyebabkan perhiasan yang diperbuat daripada kayu juga mengalami perkara serupa.
Perkara ini mendatangkan masalah kepada para pereka memandangkan sebahagian daripada mereka menjadikan pertukangan sebagai mata pencarian utama. Bagi mengurangi permasalahan tersebut, pereka perlu memanfaatkan barangan terpakai seperti kayu dari palet terbuang.
Darinya, pelbagai projek boleh dilaksanakan dan dijadikan sebuah rekaan yang bernilai untuk koleksi sendiri mahupun sebagai penjana pendapatan.
Bersedia lebih awal
Projek kali ini akan memanfaatkan kayu-kayu daripada palet yang terbuang dan menjadikannya satu ciptaan yang mudah untuk direka iaitu pemegang lilin. Untuk merekanya, awda perlu menyediakan barangan seperti mesin router atau gerudi, kayu berukuran 2” x 3”, cat jenis clear matte dan berwarna (pilihan), lilin tea light, hot glue gun, pita perekat, kertas pasir, ketam kayu, mata gerudi berukuran 1 3/8”, mata mesin router jenis straight bit berdiameter ½”, pita pengukur, mesin pemotong kayu meja dan miter, mesin pencetak bersama komputer, angkup vernier, pensel penanda dan pry bar serta tukul.
Dari terbuang kepada bernilai
Palet kayu yang tersedia terlebih dahulu perlu ditanggalkan cantumannya yang biasanya menggunakan paku. Tukul secara perlahan dengan berlapikkan blok kayu bagi memastikan kayu berkenaan tidak terbelah mahupun patah. Selain penggunaan tukul, penggunaan pry bar juga membantu untuk menanggalkannya terutama di kawasan cantuman yang mempunyai rongga.
Setelah menanggalkannya, bersihkan permukaan kayu daripada paku-paku mahupun kokot yang terdapat pada permukaannya.
Langkah ini bagi memastikan mata bilah pemotong kayu atau perata seperti ketam kayu tidak terjejas olehnya. Bagi mereka yang mempunyai alat pengesan besi, penggunaannya adalah disarankan memandangkan pada kebiasaannya terdapat kokot yang sukar dikesan dengan mata kerana tersembunyi di dalam kayu.
Yakin permukaan kayu telah dibersihkan daripada sebarang besi, awda kini boleh meratakan permukaan kayu menggunakan alat ketam kayu. Meratakan permukaan kayu sebelum memotongnya adalah disarankan memandangkan semakin kecil sesuatu material itu, semakin sukarlah kerja mengetamnya terutamanya mereka yang melakukannya secara manual.
Cuma sedikit permukaan akan dibuang bagi mengelakkan pembaziran di mana hanya permukaan yang kurang elok mahupun tidak rata dibuang. Selesai melakukannya, kini awda boleh memotongnya menjadi blok-blok kecil menggunakan mesin gergaji kayu meja atau miter.
Bagi penggunaan gergaji kayu jenis meja, tetapkan rip fence pada jarak 25sm dari bilah pemotong. Jumlah blok kayu yang dihasilkan di sini tertakluk kepada keperluan di mana setiap blok kayu akan menempatkan tiga lilin tea light.
Sebelum memulakan langkah membentuk bahagian sisi blok kayu dengan bentuk geometri, terlebih dahulu reka ruangan untuk menempatkan lilin menggunakan mesin router atau gerudi.
Bagi yang menggunakan mesin router, straight bit merupakan mata yang digunakan untuk merekanya. Sebelum itu awda perlu lakar bentuk bulatan menggunakan alat kompas sebagai panduan untuk mereka ruangan.
Tetapkan kedalaman mata mesin untuk membuang permukaan kayu secara perlahan-lahan terutama bagi awda yang menggunakan palm router. Bagi yang menggunakan plunge router, awda hanya perlu menetapkan terus had kedalaman mata mesin memandangkan ia memiliki kekuatan mesin yang lebih besar.
Jarak setiap satu lubang pada bahagian tengah lebih kurang ½” dengan bahagian kedua-dua hujung diberi ruangan dengan jarak 4.5sm di antara lubang pertama. Besar lubang pula lebih kurang 1 ¾” dengan kedalaman ¾”.
Selain penggunaan mesin router, awda juga boleh menggunakan mesin gerudi dengan diameter mata yang sama jenis hole opener. Mata gerudi jenis ini walaupun mahal, namun dapat menyelesaikan tugas dengan lebih cepat. Pastikan awda menggunakan bench vise ketika melakukan langkah mereka lubang agar dapat dihasilkan dengan kemas.
Permukaan kayu dengan bentuk geometri kini boleh direka menggunakan mesin pemotong kayu miter. Langkah memotongnya menggunakan mesin jenis ini lebih selamat berbanding gergaji kayu meja memandangkan material kecil perlu disorongkan menjadikannya tidak stabil.
Melalui mesin miter, blok kayu hanya perlu diletakkan pada permukaan potongan manakala mesin pula digerakkan untuk memotongnya.
Bentuk permukaan kayu bergeometri bagi setiap satu rekaan adalah tidak sama bagi memberikan kelainan dalam penciptaan. Cuma dua permukaan tidak akan disentuh dalam langkah ini iaitu bawah dan atas.
Selesai membentuknya, kini awda boleh melindungi permukaan kayu menggunakan wood finish pilihan. Bagi mereka yang ingin mengekalkan warna kayu asli, pilih cat jenis clear untuk menimbulkan ira-ira kayu sementara, bagi yang ingin mewarnakannya, disarankan untuk memilih cat jenis retro disebabkan keunikannya.
Apa pun jenis wood finish pilihan, pastikan awda menyemburkan atau menyapukannya sekurang-kurangnya dua lapisan dengan memberikan masa bagi setiap lapisan untuk mengering sebelum memberikan lapisan seterusnya. Selamat mencuba!