Oleh Amri HTZ
MEMILIKI pelbagai bentuk subang untuk dijadikan perhiasan diri merupakan suatu minat yang tidak dapat dielakkan bagi setiap wanita. Ia juga sering dijadikan sebagai koleksi selain boleh menghias ruang meja solek seseorang. Bagi memastikan ia tersusun rapi dan tidak merosakkan permukaan subang yang kebiasaannya hanya diletakkan ke dalam kotak perhiasan, masalah ini boleh diselesaikan dengan mereka pemegang subang dengan beberapa langkah mudah yang perlu dilakukan.
Barangan dan peralatan yang diperlukan
Dalam projek kali ini bagi mereka pemegang subang yang diinginkan adalah seperti kayu balsa atau kayu terpakai dari pelet kira-kira 3 inci lebar, kayu empat segi berukuran ½ inci lebar, pisau pemotong, pembaris besi, alas pemotong khas, kepingan akrilik berukuran 1/8 inci tebal, gam Mod Podge, kertas Marble atau kertas pelekat, mesin gerudi, mata gerudi, pen penanda, cat berwarna putih dan hot glue gun.
Langkah-langkah yang perlu dilakukan
Melalui langkah pertama, akrilik berbentuk segi empat berukuran 6’’x8’’ diperlukan untuk membuat pemegang subang tersebut. Jika anda tidak boleh mendapatkan ukuran yang sama dengan yang diperlukan, anda hanya perlu mengecilkan saiz tersebut mengikut besar yang diperlukan.
Letakkan akrilik tersebut pada meja pertukangan dan ukur pada bahagian hujung akrilik dengan ukuran 8 inci menggunakan pembaris yang telah disediakan dan tanda menggunakan pen.
Setelah itu, buat garisan yang dalam sepanjang permukaan akrilik yang telah ditandakan menggunakan pisau pemotong tahan lasak dengan pembaris besi.
Tujuan menggunakan pembaris besi di sini adalah agar pisau pemotong dapat mengikut kawasan yang hendak dipotong dengan betul dan tidak merosakkan pembaris yang digunakan. Potong permukaan yang telah dipotong berulang kali bagi memastikan ia cukup dalam dan hasil potongan yang halus pada hasil akhir nanti.
Apabila potongan pada permukaan akrilik cukup dalam, letakkan bahagian garisan yang telah dipotong pada sudut meja seperti dalam gambar. Pada langkah ini, bunyi yang dihasilkan pada proses mematahkan akrilik agak besar dan untuk keselamatan, anda boleh menggunakan penutup telinga bagi menghindarkannya.
Tekan kedua-dua bahagian; satu bahagian pada permukaan meja untuk menahan akrilik, manakala satu bahagian untuk proses mematahkannya. Potong bahagian akrilik yang masih bersambung menggunakan pisau pemotong jika terdapat bahagian yang masih tercantum.
Beralih pada kayu yang telah disediakan, gunakan pisau pemotong untuk memotong kayu tersebut menjadi bahagian-bahagian kecil memandangkan struktur kayu Balsa adalah lembut dan mudah untuk dipotong. Jika anda menggunakan kayu yang lebih keras, memotong menggunakan pisau pemotong merupakan perkara yang agak mustahil kerana ia akan memakan masa yang lama. Gunakan mesin pemotong kayu atau gergaji tangan.
Potong kayu tersebut menjadi kayu berukuran 3’’x 6’’ dan potong kepingan kayu segi empat tadi menjadi dua keping kayu bersaiz 6’’. Ia merupakan proses yang agak sukar jika anda memotongnya menggunakan pisau, gunakan gergaji untuk memotongnya.
Pada langkah seterusnya, letakkan akrilik tersebut pada alas pemotong untuk memudahkan anda melihat tanda garisan yang terdapat pada alas tersebut. Tandakan menggunakan pen dengan membuat titik pada setiap satu inci secara vertikal dan horizontal sekali gus membuatkan anda mempunyai grid yang sama rata antara titik yang telah dibuat.
Tebuk setiap titik yang telah ditandakan menggunakan mesin gerudi dengan mata gerudi bersaiz kecil dengan memastikan pada bahagian bawah akrilik dilapiskan dengan sekeping kayu.
Ini adalah bagi memastikan lubang yang dibuat pada bahagian dalam tidak rosak di mana lapisan kayu di bahagian belakang berfungsi sebagai penahan bahagian yang ditebuk. Selain itu, penggunaan mata gerudi yang sangat kecil ini adalah bagi memastikan subang yang akan anda diletakkan nanti akan betul-betul muat (tidak longgar).
Kayu yang telah dipotong tadi akan dicantumkan menggunakan hot glue gun dengan memastikan dua keping kayu berukuran 6’’ tadi dilekatkan di bahagian tengah kayu asas/ tapak dan memastikan anda meninggalkan sedikit ruang untuk menyelitkan akrilik di tengah-tengahnya. Setiap permukaan kayu ini akan ditutup menggunakan kertas Marble (mempunyai pelekat) atau dengan menggunakan kertas pelekat.
Jika sukar untuk mendapatkannya, anda boleh memilih untuk menggunakan kertas pelekat dinding memandangkan ia juga mempunyai pelbagai corak yang menarik. Potong sudut-sudut pelekat yang melebihi kayu tersebut. Cat bahagian yang sukar untuk dipasangkan kertas pelekat dengan memastikan ia sepadan dengan warna kertas pelekat yang digunakan.
Pada langkah terakhir, selitkan akrilik yang telah ditebuk tadi di bahagian tengah kayu dengan memastikan plastik pelindung akrilik ditanggalkan sebelum menggunakan. Letakkan subang yang tidak tersusun dengan memasukkan pada setiap lubang yang telah dibuat dan kini ia sudah boleh dipamerkan di laman sosial anda!