Pemenang bertuah dapat ‘durian runtuh’

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Bagai mendapat durian runtuh, itulah yang dapat digambarkan mengenai Awang Adi Muliadi bin Haji Abdul Rahman Abdullah dan Alan Tan Wui Kiang yang masing-masing memenangi sebuah kereta mewah BMW 5-Series serba baharu dalam promosi ulang tahun ke-25 Bank Baiduri.

Majlis cabutan utama dan penyampaian hadiah kepada pemenang dan wakil telah diadakan di Bangunan Ibu Pejabat Baharu Baiduri Bank di 1, Jalan Gadong, hari ini di mana lima pemenang lain membawa pulang pelbagai hadiah menarik termasuk pakej percutian untuk dua orang ke Maldives atau pengalaman makan lapan jenis sajian secara peribadi, pakej percutian ke Hokaido, Sydney dan Brisbane bagi keluarga seramai empat orang.

Hadir pada majlis berkenaan sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bertuah ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dan timbalannya, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.

Turut hadir bagi menyaksikan penyampaian hadiah tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif QAF Brunei Group, Albert Lau dan Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo.

Tujuh orang pemenang bertuah yang berjaya disenarai pendekkan daripada cabutan sebelumnya hadir bagi mencuba nasib masing-masing untuk memenangi hadiah utamanya berupa dua buah kenderaan BMW 5-Series tersebut.

Albert Lau dan Alisa Khoo turut hadir bagi menyaksikan penyampian hadiah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui menyampaikan replika kunci BMW 5-Series kepada dua pemenang utama, Awang Adi Muliadi bin Haji Abdul Rahman Abdullah dan wakil Alan Tan Wui Kiang (kiri) setelah menjadi pelanggan bertuah dalam promosi ulang tahun ke-25 Bank Baiduri. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
Awang Adi Muliadi dan isteri membawa pulang kereta mewah BMW 5-Series serba baru.
Ti Eng Hui dan Pengiran Azaleen bergambar ramai bersama pemenang-pemenang bertuah pada majlis yang berlangsung di Bangunan Ibu Pejabat Baharu Bank Baiduri di 1, Jalan Gadong.

Para pemenang bertuah lain ialah Lim Chee Beng, Clan Anak Jenging, Ang Tian Choung, Awang Muhammad Nicolas Fawzan bin Abdullah Sami @ Nicholas Ningkan, dan Liam Janin.

Ketika ditemui media, Awang Adi Muliadi yang terharu kerana berjaya membawa pulang salah satu hadiah utama mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dikurniakan rezeki yang tidak terduga tersebut.

Beliau yang baru pernah memenangi cabutan bertuah seumpamanya sungguh gembira atas kemenangannya itu setelah menggunakan salah satu produk yang ditawarkan oleh Bank Baiduri yang akhirnya membolehkannya menyertai cabutan bagi promosi cabutan bertuah sempena ulang tahun bank tersebut.

Promosi yang bermula 17 Ogos 2019 sehingga 29 Februari 2020 memberikan peluang para pelanggan yang mendaftar bagi produk terpilih yang ditawarkan Bak Baiduri untuk memenangi hadiah utama semasa cabutan utama dan cabutan bertuah bulanannya.

Cabutan bertuah bulanan turut menawarkan hadiah menarik seperti 250,000 Royal Skies miles dan baucar percutian bernilai sehingga $1,000.