Pemenang fotografi Borneo Bulletin terima hadiah

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Para pemenang ‘Borneo Bulletin Photography Contest 2019’ telah menerima hadiah masing-masing pada majlis yang diadakan di One Riverside, Menglait, hari ini.

Lima kategori telah dipertandingkan dalam pertandingan berkenaan iaitu ‘People & Culture’; ‘Places & Landmarks’; ‘Food & Sports’; ‘Energy (Oil & Gas)’; dan ‘Industry’.

Chiew Wee Cheng muncul juara bagi Kategori ‘People & Culture’, Law Hieng Hing juara Kategori ‘Places & Landmarks’, tempat pertama bagi Kategori ‘Food & Sports’ dimenangi oleh Awang Hassnal Sulaiman, manakala Bong Poh Yuk memenangi tempat pertama bagi Kategori ‘Energy (Oil & Gas)’, dan Kategori ‘Industry’ dijuarai oleh Haji Mohammad Yusop bin Mohammad Yassin.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah-hadiah utama kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif QAF Brunei Group, Albert Lau.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang ‘Borneo Bulletin Photography Contest 2019’ pada majlis yang diadakan di One Riverside, Menglait, kelmarin.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai bersama Albert Lau, pihak pengurusan kanan Brunei Press, para penaja dan rakan Brunei Press serta pemenang dan peserta Borneo Bulletin Photography Contest 2019 pada majlis yang berlangsung di One Riverside, Menglait.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan diiringi Albert Lau menyaksikan gambar-gambar pemenang bagi pertandingan itu.
Dayang Siti Diyana ketika menyampaikan hadiah sagu hati kepada salah seorang peserta pertandingan. – Gambar oleh Rahwani Zahari

Mengiringi Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Hazizah Osman; Pengarah Urusan Syarikat Interhouse, Vincent Goh; dan Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat Bank Baiduri Berhad, Dorothy Newn.

Sementara itu, hadiah-hadiah sagu hati untuk kelima-lima kategori berkenaan telah disampaikan oleh Pengurus Kewangan dan Operasi Brunei Press Sdn Bhd, Suzie Houng; Pengurus Besar Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), Arlene Terrado; Pengurus Kewangan Makan Ceria, Dayang Nimewirnah binti Haji Hanafi; Ketua Perancangan dan Perkembangan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Dayang Siti Diyana binti Abdullah, dan Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar.

Terdahulu, Hazizah Osman dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan bahawa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menyokong pertandingan tersebut sejak 2016.
Menurutnya, pertandingan yang diadakan buat kali ketiga itu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan lebih 700 penyertaan di mana jurugambar yang beraspirasi dan berbakat diberi peluang untuk merakam gambar kreatif Brunei Darussalam dari mercu tanda, orang, makanan, sukan, budaya, tenaga dan industri yang menjadi tumpuan utama peraduan tersebut.

Beliau menambah, memandangkan sambutan yang menggalakkan untuk pertan-dingan berkenaan selama ini, Brunei Press akan mengadakan lagi pertandingan berkenaan pada tahun ini yang akan diumumkan di Borneo Bulletin dan Media Permata nanti.

Pelbagai hadiah-hadiah menarik telah diberikan kepada para pemenang termasuk ka-mera Canon EOS 200D, akaun simpanan Bank Baiduri, telefon bimbit Huawei, talian pascabayar Progresif, DJI Osmo Mobile 2, mesin kopi CBTL, baucar CBTL, baucar McDonald’s dan wang tunai yang ditaja oleh Interhouse Company, Bank Baiduri, BSP, Makan Ceria, CBTL dan Progresif.

Gambar-gambar yang menang telah diadili dan dipilih berdasarkan kualiti fotografi, kreativiti dan keberkesanan untuk menyampaikan kecantikan dan keunikan Brunei Darussalam oleh wakil penaja-penaja dan Brunei Press.