Pemenang Ganjaran Aspirasi BIBD terima hadiah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Tuah memihak kepada Awang Mohamad Hasnal bin Haji Mohamad dan Dayang Nurul ‘Izzati binti Mohammad Masli apabila menjadi pemenang suku tahunan kedua Program Ganjaran Aspirasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sekali gus membawa pulang wang tunai $25,000 setiap seorang.

Majlis cabutan dan penyampaian hadiah yang herlangsung di BIBD cawangan Kiulap, hari ini turut menyaksikan 10 pemenang bulanan menerima hadiah wang tunai $2,500.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman.

Turut hadir bagi membuat cabutan ialah Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku ahli Badan Penasihat Syariah BIBD.

Para pemenang bulanan berkenaan terdiri daripada Dayang Norhamizah binti Haji Hamdan, Haji Norkaseh bin Haji Dzolkefflie, Dayang Norita @ Rita @ ‘Ain’ Ameerah binti Abdullah, Dayang Nur Afiza binti Mohd Azamin, Awang Mohammad Azimi bin Haji Kamis, Dayang Nur Syafia Adawiyah @ Secanci binti Berayam, Lim Tiong Kai, Awang Salminan bin Haji Burut, Awang Zil Husam bin Haji Abdul Rahman dan Awangku Zulkarnain bin Pengiran Juata.

Sesi bergambar ramai tetamu kehormat bersama para pemenang dan keluarga mereka.
Awang Mohamad Hasnal menerima hadiah wang tunai $25,000 yang disampaikan oleh Hajah Noraini.

Awang Mohamad Hasnal semasa ditemui Media Permata melahirkan perasaan gembira dan tidak menyangka apabila nama beliau berjaya terpilih untuk memenangi hadiah suku tahunan kedua berkenaan.

“Alhamdulillah saya berasa bersyukur ke atas nikmat yang Allah SWT telah berikan kepada saya, dan Insya-Allah akan dimanfaatkan rezeki yang telah diberikan itu iaitu menunaikan Fardu Haji dan menolong orang-orang yang susah dalam kalangan keluarga,” kongsi beliau.

Menurutnya, BIBD Aspirasi telah memotivasikan beliau dalam terus menabung secara istiqomah (berterusan) iaitu secara sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Ketua Perbankan Runcit, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dalam kenyataan yang diberikan BIBD mengongsikan bahawa mereka gembira kerana dapat menyampaikan komitmen mereka dalam merealisasikan aspirasi pelanggan mereka.

“Sambutan hebat Aspirasi BIBD sangat menggalakkan bagi kami kerana ia mencerminkan pemikiran ‘wants-can-wait’ yang mana program ini bertujuan untuk menanamkan disiplin kewangan keperluan berbanding kemahuan dalam kalangan pelanggan.”

Beliau menambah, pelanggan BIBD juga masih berpeluang untuk menyertai program ganjaran BIBD Aspirasi yang mana hadiah utamanya ialah wang tunai $250,000 dan pelanggan diingatkan lagi untuk menyimpan jumlah tabung mereka selama 90 hari minimum.

BIBD Aspirasi boleh didapati di mana-mana cawangan BIBD, walau bagaimanapun dengan menggunakan platform mudah alih dan BIBD NEXGEN, ia memberikan akses yang lebih mudah bagi pelanggan. Pelaburan $50 ke dalam BIBD Aspirasi, pelanggan mendapat satu peluang untuk memenangi hadiah bulanan, suku tahunan dan hadiah utama. Cabutan utama akan diadakan pada September depan.