Pemenang Impian BIBD diraikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Lima pemenang suku tahunan memenangi hadiah-hadiah bernilai $4,000 manakala 20 pemenang bulanan memenangi hadiah bernilai $250 setiap seorang dalam kempen Impian Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang dilancarkan pada Januari 2021.

Menurut kenyataan BIBD hari ini, hadiah-hadiah berkenaan telah disampaikan oleh Penolong Ketua Kumpulan Perbankan Runcit, Clevy Syabil ‘Ariffin bin Jamil dalam satu majlis yang berlangsung hari ini. Tiga pemenang suku tahunan dewasa dianugerahi Akaun Simpanan Haji BIBD bernilai $4,000, sementara dua pemenang suku tahunan junior diberikan Akaun Simpanan BIBD bernilai $4,000.

Hadiah-hadiah diberikan berdasarkan undian awam yang dijalankan di akaun media sosial BIBD, di mana orang awam diminta memilih hadiah pilihan mereka.

Sementara itu, 10 pemenang bulanan dewasa dan 10 pemenang bulanan junior juga membawa pulang baucar membeli-belah bernilai $250 setiap seorang.

Kenyataan menambah kempen Impian BIBD menawarkan pelbagai ganjaran menarik untuk pelanggan yang menjalankan transaksi dengan BIBD.

Untuk memberikan peluang maksimum kepada pelanggan menang, pelbagai produk dan perkhidmatan layak dimasukkan untuk penyertaan di bawah cabutan bertuah.

Pada akhir kempen setahun, seorang pelanggan BIBD bertuah akan memenangi sebuah rumah berkembar yang baharu ihsan daripada BIBD.

Clevy Syabil ‘Ariffin bergambar ramai bersama pemenang kempen Impian BIBD pada majlis penyampaian hadiah berkenaan. – Gambar serahan BIBD