Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pemenang Kempen BIBD Aspirasi 3 dirai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid melahirkan perasaan amat bersyukur apabila terpilih untuk memenangi hadiah utama dan membawa pulang hadiah $250,000 dalam Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi 3 pada majlis cabutan kemuncak dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Pada majlis berkenaan juga, lima orang pemenang cabutan suku keempat kempen berkenaan membawa pulang $10,000 setiap seorang dan seramai 15 orang pemenang cabutan bulanan pula, membawa pulang hadiah $1,000 setiap seorang.

    Terdahulu pada Disember 2021, sebagai sebahagian daripada cabutan hadiah utama Aspirasi 3, 20 orang pelanggan telah dianugerahkan hadiah $1,000 setiap seorang sebagai pemenang bulanan.

    Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bertuah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Lembaga Pengarah BIBD. Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan BIBD. Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Jefri menyatakan perasaan syukur dan gembira terpilih sebagai pemenang bertuah hadiah utama bagi kempen berkenaan.

    Beliau menyatakan lagi bahawa aspirasinya adalah untuk menabung demi keperluan masa-masa yang memerlukan khususnya bagi keluarga dan pada masa yang sama, digunakan bagi membantu mereka yang memerlukan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai dengan para pemenang dalam majlis cabutan kemuncak dan penyampaian hadiah utama Kempen BIBD Aspirasi 3, kelmarin.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menekan punat bagi pemilihan pemenang bertuah hadiah utama bagi Kempen BIBD Aspirasi 3.
    Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid bersama isterinya melahirkan perasaan amat bersyukur apabila terpilih memenangi hadiah utama dan membawa pulang hadiah $250,000 dalam Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi 3 pada majlis cabutan kemuncak dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Menurutnya, beliau telah mula menyertai Kempen BIBD Aspirasi sejak Kempen BIBD Aspirasi 2 dan menyatakan hasrat untuk terus memberikan sokongan kepada kempen yang amat bermanfaat itu, di mana ia memberikan penekanan kepada masyarakat untuk mengamalkan budaya menyimpan dan berjimat.

    BIBD Aspirasi diperkenalkan pada 2018 bagi menyokong matlamat Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) ke arah mempromosikan kemahiran pengurusan kewangan dan memupuk disiplin mena-bung di kalangan masyarakat Brunei Darussalam. Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman berkata bahawa sehingga kini, jumlah pelanggan bagi Aspirasi terus berkembang dengan pesat dan mereka berharap trend itu akan terus meningkat pada jangka panjang.

    “Di BIBD, kami terus kekal dengan prinsip Bruneian at Heart dan teguh dalam menyokong agenda negara ke arah komuniti Brunei yang celik kewangan,” tambahnya.

    Beliau menerangkan bahawa apabila mereka mula melancarkan inisiatif itu, aspirasi mereka adalah untuk memastikan pelanggan-pelanggan mereka akan menikmati sebuah platform simpanan yang mudah dan bebas kerumitan di mana ia membolehkan mereka untuk menyimpan secara konsisten.

    “Kami telah dapat melaksanakannya dengan BIBD NEXGEN Wallet di mana simpanan boleh dibuat bila-bila masa dan di mana saja mengguna peranti mudah alih.”

    Ulasnya lagi, “Ini adalah lebih berguna dalam era pandemik masa ini di mana kebanyakan benda telah beralih ke arah pendigitalan untuk mengurangkan penularan COVID-19.”

    Pandemik COVID-19 pada masa ini, dilihat sebagai masa yang terbaik bagi penduduk Brunei untuk mula atau membangunkan tabung menyimpan berdaya tahan ke arah mencapai masa hadapan kewangan mapan. Sepanjang 2021, Kempen Aspirasi 3 telah memberikan hadiah wang tunai kepada 441 pemenang di mana 23 daripada 441 pemenang berkenaan telah menang dengan simpanan daripada serendah $50 dengan enam daripada mereka telah terpilih dalam cabutan hadiah utama, hari ini. Kebanyakan para pemenang berkenaan adalah daripada segenap lapisan masyarakat.

    BIBD baru-baru ini, juga telah melancarkan Kempen Aspirasi 4 di mana sekali lagi akan menganugerahkan lebih 400 pemenang dengan hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan $870,000 sepanjang 2022.

    Berikutan dengan kejayaan Aspirasi 3, BIBD telah meningkatkan jumlah maksimum simpanan kepada $350,000 sementara masih mengekalkan simpanan minimum serendah $50 yang membolehkan semua orang untuk menyimpan dan menjadi sebahagian daripada program ganjaran Aspirasi 4.

    Untuk memupuk pelanggan supaya kekal bertahan dan terus menyimpan dengan lebih lama, Kempen Aspirasi 4 terus menyediakan kesan penggandaan di mana ganjaran bagi pelanggan yang terus komited bagi tempoh yang lebih lama.

    Simpanan yang dipegang antara 181 hingga 271 hari akan layak untuk menerima dua kali ganda jumlah penyertaan manakala simpanan yang dipegang bagi 271 hari dan lebih akan layak untuk menerima tiga kali ganda jumlah penyertaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...